EKONOMI > BERITA

PUBLIC GOLD LABUR RM30 JUTA BINA PUSAT PENAPISAN EMAS KENDIRI

07/05/2024 02:46 PM

BATU KAWAN, 7 Mei (Bernama) -- Syarikat logam berharga utama di Malaysia, Public Gold melabur sebanyak RM30 juta bagi pembinaan sebuah pusat penapisan emas kendiri bertaraf dunia yang pertama di negara ini di Zon Perindustrian Fasa 1 Batu Kawan di sini.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group (PG Group) Datuk Louis Ng berkata kemudahan baharu itu akan dibina di kawasan berkeluasan 0.44 hektar dengan anggaran keluasan pembinaan 48,000 kaki persegi dan  mampu menghasilkan pengeluaran 10 tan emas setahun.

"Pembinaan pusat itu bermula bulan ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan. Selepas itu kita menjangkakan mampu menghasilkan pengeluaran 10 tan emas setahun bernilai sekitar RM4 bilion, malah berpotensi meningkat sehingga 20 tan setahun pada masa depan.

"Pusat penapisan emas yang akan dibina itu juga merupakan yang pertama di Malaysia dan kami melihat keperluan pembinaannya memandangkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk emas di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Pusat Penapisan Emas Public Gold di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan pusat itu akan menawarkan kemudahan penapisan pada jumlah yang lebih besar untuk memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa.

Ng yang juga Presiden Persatuan Emas Malaysia berkata pembinaan pusat penapisan emas ini bukan sahaja akan meningkatkan pendapatan Public Gold pada masa akan datang, malah menyumbang kepada ekonomi negeri dengan menarik lebih ramai pelabur dari industri logam berharga di seluruh dunia ke Pulau Pinang.

Selain itu, pihaknya dapat menawarkan peluang perniagaan yang lebih besar kepada vendor tempatan dan dalam masa sama mengukuhkan Pulau Pinang sebagai hab perindustrian emas global seterusnya di Malaysia, katanya.

"Pembinaan kemudahan baharu itu juga dapat menjimatkan pulangan lebih sejuta ringgit setiap bulan kerana jumlah itu sebelum ini digunakan oleh Public Gold mendapatkan emas daripada negara luar," katanya.

Beliau berkata selain sumbangan kepada ekonomi tempatan, kemudahan pusat itu juga antara lain dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan ekspatriat yang tinggal di negeri ini.

"Di bawah persekitaran kerja yang pelbagai di pusat penapisan itu, pekerja akan didedahkan kepada budaya dan kepakaran yang berbeza melalui perkongsian pengetahuan sesama rakan sekerja," katanya.

Menurutnya Public Gold yang ditubuhkan sejak 2008 menyasarkan sebanyak 10 juta pelanggan menjelang 2030 dan ketika ini mempunyai 1.3 juta pelanggan di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan