EKONOMI

BNM ANJUR LIBAT URUS DENGAN PIHAK BERKEPENTINGAN SEMPENA PENERBITAN LAPORAN UTAMANYA

03/04/2024 08:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) menganjurkan beberapa sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak 20 Mac, 2024 sempena dengan penerbitan laporan utamanya baru-baru ini.

Menurut BNM libat urus itu bertujuan untuk membuat perkongsian mengenai penilaiannya berhubung ekonomi dan sektor kewangan Malaysia serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan BNM.

“Libat urus ini melibatkan kementerian dan agensi kerajaan, kor diplomatik, industri perbankan, insurans dan takaful serta pembayaran, ahli ekonomi, penganalisis perbankan dan pengurus dana, perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga media,” jelas bank pusat dalam kenyataan pada Rabu.

Penerbitan utama BNM itu ialah Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023.

BNM menjelaskan bahawa beberapa isu penting telah dibincangkan termasuk aspek pertumbuhan dan inflasi, ringgit dan pembaharuan struktur.

Mengenai pertumbuhan dan inflasi, pihak berkepentingan utama telah membincangkan mengenai prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia tahun ini serta tindakan yang mungkin diambil oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), menurutnya.

Menurut BNM perbincangan mengenai ringgit pula tertumpu pada penilaiannya terhadap prestasi ringgit dan alat yang boleh digunakan untuk memberikan sokongan, termasuk sama ada BNM akan membuat pertimbangan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Bagi pembaharuan struktur, kebanyakan pihak berkepentingan utama berminat untuk memahami mekanisme, turutan dan pengaturan masa pelaksanaan pembaharuan struktur oleh kerajaan.

“BNM memaklumkan bahawa kerajaan jelas mengenai agenda pembaharuannya, termasuk pembaharuan strategik yang digariskan dalam dokumen dasar utama seperti Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” kata bank pusat.

Beberapa langkah pembaharuan telahpun atau sedang dilaksanakan, termasuk pelarasan tarif elektrik dan pelupusan had harga tertinggi ke atas barangan seperti ayam.

Lebih daripada itu, BNM menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan melalui pembaharuan pasaran pekerja serta pemantapan program perlindungan sosial yang merupakan pembaharuan struktur penting yang diperlukan di Malaysia, menurut bank pusat.

“Pelaksanaan pembaharuan ini akan meningkatkan daya saing Malaysia, memastikan pertumbuhan yang lebih mampan serta meningkatkan taraf hidup di negara ini,” tambahnya. 

BNM menekankan bahawa pihak berkepentingan utama juga bersetuju dengan kepentingan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berkesan dan kesan seterusnya pada pertumbuhan ekonomi dan ringgit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan