EKONOMI

PTP BELI LIMA KREN DERMAGA KAPAL KONTENA ULTRA BESAR DARI ZPMC CHINA

03/04/2024 08:18 PM

JOHOR BAHRU, 3 April (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP), usaha sama antara MMC Group dan APM Terminals, baru-baru ini menandatangani perjanjian dengan Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co Ltd (ZPMC) untuk membeli lima kren dermaga bagi kapal kontena ultra besar (ULCV).

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTP Mark Hardiman dan Naib Presiden ZPMC Celilia Shen.

Pengerusi PTP Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata pembelian kren termaju itu adalah satu langkah kritikal dalam komitmen berterusan PTP untuk menyampaikan keupayaan dan perkhidmatan terbaik dalam kelasnya kepada pelanggan dan pihak-pihak berkepentingan yang lain.

"Pelaburan terbaharu dalam peralatan ini menekankan dedikasi PTP untuk mengendalikan peningkatan volum kargo kontena dengan cekap di terminal, yang akhirnya mengukuhkan dinamik perdagangan serantau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hardiman berkata pembelian itu penting kepada strategi pemodenan bagi peralatan PTP secara komprehensif.

"Pembelian lima kren dermaga ULCV ini melambangkan pengembangan kapasiti yang ketara dan naik taraf peralatan serta kemudahan-kemudahan kami.

"Perkembangan ini menandakan kemajuan penting dalam dedikasi teguh PTP untuk mengutamakan kepuasan pelanggan dengan menyampaikan keupayaan dan perkhidmatan yang dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata kren berteknologi tinggi itu akan meningkatkan keupayaan pelabuhan untuk menaikkan kecekapan terminal dan aktiviti berkaitan pelabuhan, menguruskan peningkatan volum kargo kontena dengan berkesan dan memudahkan perdagangan serantau yang pantas dan lancar sambil mengekalkan standard keselamatan tertinggi.

"PTP akan terus memperkukuh keupayaan operasi dan tetap komited dengan matlamat kemampanan kami.

"Pembelian kren baharu ini mematuhi piawaian dan garis panduan yang sejajar dengan pematuhan PTP terhadap Perjanjian Paris dan komitmen kami terhadap amalan bertanggungjawab untuk alam sekitar," katanya.

Beliau menambah usaha berterusan PTP ke arah mencapai sasaran pengurangan 45 peratus dalam pelepasan menjelang 2030 kekal sebagai aspek kritikal dalam agenda kemampanan pelabuhan.

PTP ialah hab pemindahan penghantaran tersibuk di Malaysia dengan kapasiti untuk mengendalikan 13 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) setiap tahun. Ia kini berada di kedudukan ke-15 antara pelabuhan kontena terkenal dunia dari segi pemprosesan kontena.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan