Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 2 Jun (Bernama) -- Neurogine Group, syarikat teknologi kewangan (fintech) untuk perbankan mudah alih, pembayaran dan pelaburan, akan membangunkan platform digital mudah alih bernilai RM3 juta untuk Persatuan Pengakap Malaysia, Cawangan Sabah (SAMSB).
Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Group Owen Chen Chee Onn berkata kumpulan itu akan memanfaatkan pengalaman dan kepakarannya untuk membantu SAMSB mendigitalkan komunikasi dan operasinya.
“Kami mempunyai teknologi yang membolehkan SAMSB mendigitalkan operasinya, kemudian menyelaraskan bidang-bidang kritikal dengan pantas, cekap dan berkesan.
“Kami menjangkakan tempoh untuk membangunkannya adalah 90 hari, yang membolehkan ia dilancarkan dalam tempoh empat hingga enam bulan, tanpa sebarang masalah. Jangka masa juga diperlukan untuk melatih dan membiasakan ahli-ahli SAMSB dengan platform ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pengerusi Majlis SAMSB Datuk Yahamad Budin berkata platform seperti itu diperlukan untuk mentransformasikan persatuan dan membolehkan pentadbiran dan komunikasi yang cekap dalam kalangan enam bahagiannya, yang terdiri daripada 48 daerah dan berpotensi mencecah lebih 120,000 belia dan dewasa.
“Kami telah mengkaji dan meluluskan kerjasama ini. Melalui mudah alih, dengan aplikasi mudah alih, kad keahlian digital, pembayaran mudah alih dan banyak lagi, kami menjangkakan pelaksanaan pendigitalan ini dapat menjimatkan kos, menghalang potensi ketirisan kewangan dan meningkatkan jangkauan kami,” katanya.
Membangunkan ekonomi digital Sabah
Sementara itu, Yahamad berkata SAMSB merancang untuk membentuk unit baharu, Pengakap Digital Sabah, bagi memenuhi keperluan unik Sabah, yang serius dalam membangunkan ekonomi digitalnya.
Beliau berkata unit ini akan melatih dan membolehkan anak muda di Sabah, dari Tongod, Pitas, Telupid, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud, Beluran, Nabawan dan lain-lain, untuk membangun dan mengendalikan platform yang mengutamakan mudah alih, yang memimpin belia itu untuk mendapatkan pengalaman yang tersedia dalam pasaran.
“SAMSB, sebagai pertubuhan belia terbesar di Sabah, aktif dalam bidang ini untuk merapatkan jurang digitalisasi dan mencetuskan minat dalam kalangan belia Sabah,” katanya.
Owen berkata selain daripada membangunkan platform digital untuk SAMSB, ia juga akan menjadi mentor pembangunan dalaman bagi aplikasi baharu untuk meneruskan matlamat Sabah sebagai ahli ekonomi digital global.
Katanya, selain berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada belia Sabah, kerjasama itu akan memberi kesan gandaan dan berkemungkinan mentransformasikan aktiviti komersial dan sosial di negeri ini.
"Dengan bakat yang mencukupi dalam ekonomi digital, kami berharap ia juga akan menarik pelaburan ke negeri ini, menghasilkan peluang pasaran yang luas untuk semua orang," katanya.
Yahamad berkata menyokong agenda pendigitalan seperti itu bermakna belia dan masyarakat di Sabah mempunyai peluang yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang ekonomi dan sosial, terutamanya apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan Timur tahun depan.
“Kita mesti menutup jurang digital antara bandar dan luar bandar di negeri ini. Kerjasama dengan Neurogine akan menjadi medan pembuktian yang menarik untuk melihat sama ada organisasi kami boleh meningkatkan usaha kerajaan, dalam menyumbang usaha merapatkan jurang ini dan menangani kemiskinan digital,” katanya.
Tambahnya, SAMSB merancang untuk berbincang lebih lanjut dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri dan Sabah Net mengenai sumbangan terhadap usaha pendigitalan di seluruh negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
© 2023 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan