BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
EKONOMI

GENERASI MUDA PERLU PERSIAP DIRI DENGAN ILMU KEMAHIRAN SERTAI BIDANG PEMBANGUNAN TEKNOLOGI

22/03/2023 10:51 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam industri pembangunan teknologi disaran mempersiapkan diri dengan ilmu serta teknologi berkaitan dengannya selain perlu mempunyai minat yang mendalam terhadap perkara yang dilakukan, kata Ketua Pegawai Operasi Mazer Fintech Sdn Bhd Mamed Fudarizi.

Selain itu, katanya, keperluan mencari mentor yang terbaik bagi memberikan pendedahan menyeluruh kepada industri pembangunan teknologi juga perlu dititiberatkan.

“Apabila kita berada dalam bidang ini, terutamanya bagi syarikat pemula, antara cabaran yang akan dihadapi adalah kritikan daripada sekeliling berkenaan teknologi yang kita bangunkan.

“Jadi, dengan pendedahan daripada mentor serta pengetahuan mengenai sesuatu teknologi itu, kita mampu untuk menghadapi ‘onak duri’ yang mendatang,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pemain industri ini juga perlu memahami tentang sesuatu sistem yang diperkenalkan dan tujuannya.

“Jika katakan kita gagal memahami apa yang kita tidak boleh selesaikan, sukar bagi kita untuk menjalankan perniagaan,” katanya.

Mazer Fintech, yang ditubuhkan pada 2019, telah membangunkan satu platform teknologi kewangan dikenali sebagai JomSETEL yang menyediakan perkhidmatan kepada pengguna kad kredit untuk membuat bayaran atau menerima bayaran tanpa memerlukan terminal kad kredit, laman web mahupun ‘payment gateway’ (get pembayaran).

Mamed Fudarizi berkata platform yang berada di pasaran sejak Februari 2021 itu menyediakan ruang kepada pengguna kad kredit untuk membuat bayaran urusan ataupun kos overhead perniagaan seperti sewa, invois pembekal dan sebagainya.

“Manakala bagi usahawan, platform ini membantu mereka menguruskan aliran tunai perniagaan dengan lebih efisen,” katanya sambil menambah JomSETEL merupakan platform pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan seumpama itu.

Sehubungan itu, beliau turut mempelawa generasi muda untuk menyertai syarikat tersebut yang ketika ini memerlukan khidmat lebih ramai tenaga kerja tempatan dalam bahagian antaranya saintis bidang data, pereka bentuk, automasi robotik dan jurutera.

Sementara itu bercerita lebih lanjut Mamed Fudarizi berkata Mazer Fintech tidak mampu untuk berkembang sehingga ke tahap ini tanpa sokongan dan galakan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC),

“MTDC bukan sahaja memberi bimbingan, fasiliti bantuan kewangan kepada syarikat pemula tetapi juga motivasi, seperti apa yang perlu dilakukan sebelum, semasa dan selepas dan bagaimana peruntukan dana yang diberikan boleh dimanfaatkan sebaiknya.

“Peranan yang dimainkan oleh MTDC memberikan impak besar kepada perjalanan JomSETTLE dan syarikat kami,” katanya.

Melangkah kehadapan, beliau berkata, Mazer Fintech mempunyai beberapa visi teras yang ingin dipertengahkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang termasuk mengubah persepsi dan tingkah laku perbelanjaan dalam kalangan pemegang kad kredit.

“Selain itu, kami juga mahu membantu dan memperkasakan pekerja gig dalam menawarkan fasiliti kredit kad kepada mereka dengan menyediakan beberapa solusi termasuk e-invoicing dan juga kredit maya,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan