EKONOMI

BNM lantik semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah bagi tempoh tiga tahun

25/01/2023 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan semula empat ahli Majlis Penasihat Shariah (MPS) untuk tempoh tiga tahun dan pelantikan dua ahli MPS yang baharu untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

BNM dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu dilakukan mengikut seksyen 53(1) Akta Bank Negara Malaysia 2009. 

"MPS dibarisi sembilan orang ahli yang mempunyai berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang shariah, ekonomi Islam, undang-undang dan kewangan," kata BNM.

Ahli-ahli yang dilantik semula itu ialah Pengerusi baharu MPS dan Profesor di INCEIF University, Prof Dr Ashraf Md Hashim; Timbalan Pengerusi baharu MPS dan Profesor di Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali; Pengarah Eksekutif, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF University,  Datuk Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin; Ahli Jawatankuasa Penasihat Haji, Lembaga Tabung Haji, Burhanuddin Lukman.

Sementara itu, dua ahli baharu dilantik adalah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Ketua Pengurusan Shariah, Permodalan Nasional Berhad, Dr Ahmad Basri Ibrahim.

Lain-lain ahli MPS sedia ada ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Dr Anhar Opir; Pengarah, Jaminan Kualiti Penyelidikan dan Penerbitan, Pusat Pengurusan Penyelidikan ISRA, INCEIF University, Dr Marjan Muhammad  dan Pengasas dan Rakan Kongsi Kanan, Zainal Abidin & Co. (Peguambela dan Peguamcara), Zainal Abidin Jamal.

Dalam pada itu, BNM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk A. Aziz A. Rahim yang telah menyempurnakan tempoh perkhidmatan mereka sebagai ahli MPS.

Mohd Daud dilantik sebagai ahli MPS pada 1 Mei 1997 dan telah memegang jawatan sebagai Pengerusi MPS sejak 27 Disember 2006, A. Aziz pula mula dilantik sebagai ahli MPS pada 1 November 2016.

Sementara itu, Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata MPS memainkan peranan penting dalam memajukan aspirasi kewangan Islam di Malaysia.

"Sepanjang tempoh ini, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk A Aziz A Rahim telah memberikan sumbangan yang sangat besar dalam proses tersebut dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih terhadap komitmen dan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan