EKONOMI

Kementerian Ekonomi beri tumpuan pengurusan harga barang

25/01/2023 05:59 PM

PUTRAJAYA, 25 Jan (Bernama) -- Pengurusan harga barang di pasaran yang dilihat memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat merupakan antara tumpuan utama Kementerian Ekonomi, kata Menterinya Rafizi Ramli.

Beliau berkata selaku kementerian yang bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara, ada dua perkara berkaitan ekonomi yang amat penting dalam kalangan rakyat pada masa ini iaitu isu harga barang dan gaji.

"Ada orang bertanya kenapa Kementerian Ekonomi bercerita harga barang sebab selalunya kementerian ini sibuk dengan cerita projek besar, unjuran 10 tahun dan sebagainya.

"Walaupun kerja ini nampak selalunya dipermainkan, inilah yang ada kesan paling besar kepada rakyat," katanya dalam sidang media berhubung penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) Disember 2022, di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya pihak pembangkang mahu terus memainkan isu inflasi dan harga barang, itu terpulang kepada penilaian masing-masing.

"Saya yakin rakyat kita cerdik. Mereka tahu angka, boleh bandingkan apa yang berlaku setahun dua yang lepas. 

"Sebab itu usaha untuk kita menguruskan harga barangan itu perlulah berterusan dan perlu berkomunikasi dengan rakyat dari satu bulan ke satu bulan supaya rakyat tahu kita sedang mencuba yang terbaik dengan segala yang kita ada. Cuma ada perkara yang boleh dibuat cepat, ada yang ambil masa," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan