EKONOMI

MTDC JANGKA PERJALANAN TEKNOLOGI AKAN LEBIH PESAT DENGAN PERKEMBANGAN EKOSISTEM KEUSAHAWANAN

08/12/2022 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menjangka perjalanan teknologi di negara ini akan membangun dengan lebih pesat, disokong oleh ekosistem keusahawanan yang semakin berkembang maju terutamanya daripada golongan muda. 

Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata semakin ramai anak muda kini menunjukkan minat yang tinggi untuk berkecimpung dalam bidang teknologi.

“Kita juga mengiktiraf ramai usahawan muda kerana mereka berani mengambil risiko untuk mengkomersialkan teknologi dan sanggup menunggu lama (untuk produk mereka berjaya dikomersialkan),” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun ke-30 MTDC yang bertemakan 'Odyssey Beyond The Horizon’ pada Rabu.

Norhalim berkata MTDC kini memberikan fokus utama terhadap 'deep tech', yang memerlukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) mendalam dan seterusnya peringkat 'scaling up' agar produk dapat dihasilkan mengikut piawaian dan mutu yang diperlukan oleh pengguna. 

Katanya antara bidang yang menjadi keutamaan ialah bioperubatan serta elektrik dan elektronik (E&E).

“Pada masa depan, kami akan menuju ke arah reka bentuk cip. Kita berharap sebuah syarikat yang kita laburkan dalam bidang ini akan disenaraikan di Bursa Malaysia tidak lama lagi.

“Selain itu, mungkin terdapat tiga lagi syarikat yang dijangka disenaraikan (di Bursa Malaysia) pada suku pertama dan kedua pada 2023.

“Ia ialah TT Vision, sebuah syarikat yang terlibat dengan 'machine vision solutions' serta membangunkan automasi dan robotik. Selain itu, syarikat yang terlibat dalam industri 4.0 dan sebuah lagi syarikat perkhidmatan pembuatan kejuruteraan (belum dapat diumumkan nama syarikat),” katanya.

Pada majlis itu, MTDC meraikan perjalanan 30 tahun peranannya dalam membangunkan syarikat yang berteraskan teknologi dan pengkomersialan teknologi baharu termasuklah antara syarikat terawal yang mendapat pelaburan MTDC iaitu Globetronics Technology Bhd pada 1993. 

Selain itu, 'coffee table book' bertajuk '30 Techno Dream' yang memaparkan 30 syarikat dari pelbagai peringkat kemajuan, saiz dan sejarah pelaburan turut dilancarkan sempena ulang tahun ke-30 MTDC.

Sehingga kini, MTDC telah membiayai dan melabur dalam lebih 850 syarikat Malaysia dan sebahagian daripadanya telah berjaya disenaraikan di bursa tempatan dan antarabangsa yang mencapai lebih RM1 bilion permodalan pasaran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan