EKONOMI

AKAR INDAH ENGINEERING MAHU KEMBANGKAN OPERASI KE ASIA TENGAH, EROPAH DALAM TEMPOH LIMA TAHUN AKAN DATANG

21/09/2022 06:14 PM

                                  

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Akar Indah Engineering Sdn Bhd, sebuah syarikat kejuruteraan dan automasi tempatan berhasrat untuk terus mengembangkan cawangan pejabatnya ke luar negara khususnya di Asia Tengah dan Eropah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rohana Rahmat berkata pada masa ini, syarikat dalam perancangan untuk menubuhkan satu syarikat usaha sama bersama rakan niaganya di Jepun, dengan bantuan dan khidmat nasihat daripada pihak Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

“Kami berharap dapat terus melatih lebih ramai bakat tempatan dalam bidang teknologi sekali gus menonjolkan kebolehan mereka bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa,” katanya dalam satu temu bual.

Katanya dengan adanya jaringan yang dihubungkan menerusi MTDC, syarikat berjaya meluaskan khidmatnya di peringkat kementerian, agensi kerajaan sehingga di peringkat kerajaan negeri, selain turut menjadi vendor kepada syarikat automotif seperti Proton, Daihatsu dan Perodua bagi pembangunan kenderaan panduan automatik (AGV), antara lainnya.  

Beliau berkata antara kejayaan syarikat di luar negara ialah pembinaan kilang pintar di Sudan, membangunkan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk sebuah syarikat automotif bersama salah satu rakan niaganya serta membekalkan beberapa penyelesaian teknologi kepada sebuah syarikat di Singapura.

Dalam pada itu, Rohana berkata Akar Indah Engineering yang merupakan antara syarikat dalam komuniti Pusat 9 Tonggak (Co9P) juga bertindak sebagai antara syarikat teras dalam membantu MTDC untuk bersama-sama terlibat dalam pembangunan Co9P.

Co9P yang diperkenalkan oleh MTDC pada 2018 merupakan satu hab komuniti yang membangunkan Industri 4.0 (I4.0) bagi meningkatkan pertumbuhan teknologi organisasi kecil dan sederhana.

Sembilan tonggak I4.0 dalam Co9P terdiri daripada robot autonomi, simulasi, sistem integrasi, Internet Pelbagai Benda (IoT), keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, data raya dan realiti berperantara.

“Melalui MTDC dan Co9P, kita telah dapat berurusan dengan lebih 200 syarikat kecil dan sederhana (PKS), dengan membantu mereka mengadaptasikan teknologi dalam urusan perniagaan.

“Kita juga telah menubuhkan sebuah pusat Retrofit, iaitu kita melatih bakat-bakat tempatan untuk membuat ‘retrofit’ atau penambahbaikan dan pengubahsuaian daripada mesin manual atau konvensional kepada mesin yang menggunakan ‘controller’ agar mesin dapat berjalan secara automatik,” katanya.

Beliau berkata penggunaan mesin yang digunakan secara meluas dalam pelbagai industri sejak 30 hingga 40 tahun lepas dan masih boleh digunakan, boleh dinaik taraf untuk memudahkan lagi kerja-kerja automasi mengikut keperluan dan teknologi terkini.

Berdasarkan kajian pihaknya, katanya saiz pasaran retrofit tempatan menyamai pasaran automotif di negara ini iaitu bersamaan RM40 bilion.

Sehubungan itu, Rohana berharap segmen retrofit ini dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para siswazah atau menubuhkan lebih banyak syarikat yang seumpama dengan Akar Indah.

Akar Indah Engineering yang ditubuhkan pada 2014, mula bergiat aktif selepas ia menyertai program bersama TERAJU dan menjadi antara pemenang SUPERB Siri 2/2014 di Melaka.

Selain membangunkan solusi atau penyelesaian mesin retrofit, syarikat turut membangunkan pelbagai penyelesaian lain termasuk mesin penyesuaian, pembangunan perisian dan sistem integrasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan