EKONOMI

SG ACADEMY LATIH PENGENDALI DRON BAGI PENUHI KEPERLUAN PASARAN

06/09/2022 11:41 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Berikutan peningkatan penggunaan teknologi dron dalam pelbagai sektor tempatan dan global yang memerlukan pembangunan tenaga kerja tempatan, SG Academy Sdn Bhd (SGA) telah memanfaat peluang itu dengan mengambil langkah untuk melatih pengendali dron bagi mengisi keperluan dalam pasaran.

,Pengurus Pembangunan Perniagaannya Muhammad Syafiq Salleh berkata, SGA, yang merupakan pengendali program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) memberikan tumpuan penuh kepada pembangunan tenaga kerja tempatan dan peningkatan kemahiran serta kemahiran semula bagi setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar, graduan malahan individu yang diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19 .

Selain itu, katanya, SGA turut menawarkan program lain termasuk mekatronik, sistem perkomputeran, multimedia kreatif serta seni kulinari. 

“SGA melihat bahawa terdapat peningkatan permintaan untuk mengenali dan memahami teknologi dron dan penggunaan dron kini tidak hanya terhad kepada pengambilan video dan gambar, ia melibatkan sektor berkepentingan yang lain seperti logistik, pembinaan serta pertanian.

“Kini terdapat penghantaran barangan di kawasan urban (bandar) menggunakan dron, malahan perkembangan projek pembinaan dapat dipantau melalui dron dan bagi pertanian, dron digunakan untuk penyemburan racun di sawah padi, kelapa sawit dan kebun durian,” katanya kepada Bernama.

Muhammad Syafiq berkata sepanjang tempoh 2020-2022, SGA telah berjaya melatih sejumlah 600 pengendali dron profesional dalam pelbagai aspek termasuk mengendali dan membaik pulih dron merentasi pelbagai sektor.

“Kita juga menjalin kerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) khususnya dalam teknologi dron, di mana MTDC memberi fasiliti dan ruang pejabat kepada SGA untuk mengembangkan secara meluas teknologi dron dan penyelidikan,” jelasnya.

Menurutnya, MTDC turut memberi sokongan penuh kepada SGA di pasaran tempatan dan juga antarabangsa melalui acara promosi dalam pelbagai industri.

SGA merupakan antara enam syarikat yang membentuk komuniti di Centre of 9 Pillars® (Co9P®),  yang diwujudkan bagi membangunkan I4.0 untuk meningkatkan pertumbuhan teknologi organisasi kecil dan sederhana.

Sembilan tonggak I4.0 dalam Co9P® terdiri daripada robot autonomi, simulasi, sistem integrasi, Internet Pelbagai Benda, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, data raya dan realiti berperantara.

Mengulas mengenai kepesatan pembangunan teknologi, Muhammad Syafiq berkata perkembangan ini memberi peluang kepada golongan muda untuk bersaing dan mendapatkan kemahiran baharu.

“Mereka harus mulai dengan mengenal pasti masalah di sekeliling mereka dan bina penyelesaian menggunakan tekonologi dan saya percaya golongan muda dapat bersaing dengan sihat dan mencipta produk yang lebih baik,” katanyya. 

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan