BERITA COVID–19   Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | Trend kes COVID-19 di Labuan kembali meningkat | 
EKONOMI

MAG, pereka tempatan bekerjasama pulihara warisan Baba dan Nyonya secara mampan

05/08/2022 10:08 PM

GEORGE TOWN, 5 Ogos (Bernama) -- Malaysian Aviation Group (MAG) menjalin kerjasama dengan pereka tempatan, Kenny Loh bagi menghasilkan koleksi kasut manik edisi terhad yang diperbuat secara mampan menggunakan bahan kitar semula untuk memulihara warisan peranakan Baba dan Nyonya.

Pada majlis pelancaran hari ini, Ketua Kemampanan Kumpulan MAG Philip See berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kenny Loh untuk sama-sama mengurangkan sisa buangan sambil mendidik generasi muda mengenai hasil kraf tempatan serta kalangan penggiatnya.

“Pereka seperti Kenny Loh telah memberi inspirasi kepada ramai bahawa kita semua ada peranan masing-masing ke arah usaha mampan di negara ini serta di serata planet.

“MAG juga percaya selain menikmati perkara yang baik, para pelanggan kami juga akan turut prihatin terhadap kepentingan peranan untuk menjaga planet ini,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Firefly.

Sementara itu, Loh yang juga Pengasas Kenny Loh Corture berkata kasut taburan manik yang sinonim dengan warisan Baba Nyonya itu mengetengahkan sentuhan unik menggabungkan kemahiran dengan penggunaan bahan kitar semula iaitu baju kebaya ikonik Malaysia Airlines.

Menurutnya, beliau dan lebih enam orang dalam pasukannya mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan 72 pasang kasut manik tersebut.

“Kami menggunakan 10 set baju kebaya fabrik ikonik kebaya Malaysia Airlines yang dikitar semula serta 2,000 manik untuk setiap kasut bagi menyiapkan koleksi buatan tangan itu,” katanya.

Loh berkata kasut-kasut terbabit didatangkan dalam pelbagai saiz dan tiga warna berbeza yang mewakili penempatan masyarakat Peranakan tersebut iaitu hijau bagi Pulau Pinang, merah untuk Singapura dan biru bagi Melaka.

Kasut-kasut eksklusif itu akan turut dijual menerusi platform pengembaraan, gaya hidup dan e-dagang MAG iaitu Journify di myjournify.com dengan diskaun sebanyak 10 peratus untuk ahli.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan