BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
EKONOMI

Pergerakan penumpang melebihi paras 7 juta pada Mei, tertinggi dalam tempoh dua tahun - MAHB

23/06/2022 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Prestasi trafik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk keseluruhan rangkaian lapangan terbangnya mendapat tarikan pada Mei 2022, mencatatkan pergerakan penumpang tertinggi setakat ini melepasi paras tujuh juta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Menurut pengendali lapangan terbang itu, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik, masing-masing mencatatkan trafik tertinggi pada tahun ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MAHB berkata pergerakan penumpang antarabangsa di Malaysia adalah menggalakkan, mencecah jumlah satu juta pada Mei 2022, hanya dalam tempoh sebulan selepas pembukaan semula sempadan.

“Lanmei Airlines, syarikat penerbangan berjadual baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mula beroperasi pada 28 Mei, dengan kekerapan sekali seminggu dan merancang untuk meningkat kepada tujuh kali seminggu.

“IndiGo Airlines, Jin Air, Thai Smile Airways, Royal Brunei dan Philippine AirAsia telah beroperasi semula pada Mei.

“Sementara itu, AirAsia, Himalaya Airlines, Indonesia AirAsia, Jetstar Asia, Oman Air, Saudi Arabian Airlines, Scoot Airlines, Thai AirAsia, Thai Airways, US Bangla, Vietjet dan Vietnam Airlines turut meningkatkan kekerapan, menyumbang kepada tambahan 209 kekerapan mingguan pada Mei,” katanya. 

Bagi pergerakan penumpang domestik, pengurus lapangan terbang itu berkata ia adalah sama menggalakkan, mencecah lebih tiga juta penumpang atau 91 peratus daripada paras sebelum COVID.

“Pertumbuhan itu didorong oleh sambutan Aidilfitri pada awal Mei dan sambutan musim menuai Sabah dan Sarawak pada akhir bulan.

“Momentum trafik pada Mei turut berterusan hingga Jun dengan peningkatan 11 peratus dalam purata pergerakan penumpang harian kepada 163,000,” katanya.

Sementara itu, MAHB berkata pergerakan penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (SGIA) Istanbul juga terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh trafik percutian, laluan syarikat penerbangan dan peningkatan kapasiti.

“Pergerakan penumpang antarabangsa mencatatkan jumlah tertinggi setakat ini pada 2022, mencatatkan 1.2 juta penumpang.

“Anadolujet dan Pegasus memulakan perkhidmatan baharu ke Milan-Bergamo dan Helsinki dengan penerbangan harian dan empat kali seminggu, masing-masing pada 16 dan 26 Mei,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan