BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
EKONOMI

UAC selaras harga produk disebabkan kenaikan kos bahan mentah

23/06/2022 08:07 PM

PETALING JAYA, 23 Jun (Bernama) -- UAC Bhd, perintis terkemuka dan pengeluar papan simen gentian selulosa berkualiti tinggi, baru-baru ini melaraskan harga produknya berikutan lonjakan kos bahan mentah bagi kekal berdaya saing di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan B.T. Gan berkata, kenaikan harga adalah di antara enam dan 15 peratus di Malaysia manakala 15 hingga 25 peratus untuk pasaran antarabangsa bagi 30 rangkaian produknya.

“Kami telah melaraskan harga kami kerana kami terjejas oleh harga bahan mentah yang lebih tinggi berikutan harga minyak, harga arang batu yang melambung tinggi dan caj pengangkutan.

“Pada masa yang sama, secara dalaman kami mengehadkan kos kami serta memaksimumkan juga kos pembuatan kami,” katanya pada sidang media selepas pelancaran penjenamaan semula UAC Bhd hari ini.

Gan berkata syarikat itu menerima permintaan yang lebih tinggi daripada pasaran antarabangsa terutamanya dari Taiwan, Eropah, Hong Kong dan Korea Selatan, sambil menambah eksport menyumbang 50 peratus kepada jumlah hasilnya.

Beliau berkata syarikat menyasarkan pertumbuhan hasil dua angka dalam tempoh beberapa tahun akan datang selepas mencatatkan hasil terkumpul sebanyak RM210 juta pada tahun lepas.

“Pertumbuhan dua angka tidak mustahil dengan syarat konflik semasa antara Rusia dan Ukraine tidak meningkat kerana situasi tertentu adalah di luar kawalan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusinya Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata syarikat itu juga sedang melihat peluang untuk menembusi pasaran produk kaca dan panel solar bagi mempelbagaikan tawaran rangkaian produknya.

"Kami sedang mencari peluang untuk menembusi pasaran produk ini tetapi masih belum memutuskan bilakah masanya," katanya.

UAC ialah anak syarikat milik penuh Boustead Holdings Bhd dan hari ini ia telah melancarkan logo baharu sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semulanya sejajar dengan strategi penciptaan semula kumpulan Boustead.

Mat Nadzari berkata penjenamaan semula itu mencerminkan peralihan UAC daripada sebuah syarikat yang mementingkan produk kepada yang lebih berfokuskan pelanggan, gaya hidup dan tertumpu kepada aspirasi dalam penawarannya bagi memenuhi keperluan pasaran dan pengguna yang berubah.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan