BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
EKONOMI

Cabaran perdagangan COVID-19 peluang bagi perbaharui integrasi Asia Pasifik - laporan

14/05/2022 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tidak seharusnya melewatkan dalam memulihkan usaha untuk menyepadukan Asia Pasifik, menjadi rantau paling dinamik di dunia dan membawa tenaga baharu kepada prospek jangka panjang Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP), menurut ringkasan dasar baharu.

Pengarah Unit Sokongan Dasar APEC Dr Denis Hew berkata pandemik dan impak daripada COVID-19 hanya menekankan kepentingan integrasi ekonomi serantau.

“Penggubal dasar APEC perlu menangani isu dan cabaran berkaitan perdagangan yang wujud untuk merealisasikan integrasi ekonomi serantau yang lebih baik,” katanya dalam laporan unit itu bagi Mei 2022 bertajuk, 'Lessons from the COVID-19 Pandemic: A Renewed Agenda for the Free Trade Area of the Asia-Pacific'.

Sementara itu, Carlos Kuriyama, penganalisis kanan dengan Unit Sokongan Dasar APEC dan pengarang ringkasan dasar itu, berkata tidak mencukupi untuk kerajaan mengambil tindakan di peringkat domestik apabila dunia menghadapi pandemik.

“Kerjasama antarabangsa perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian itu. Paling penting, sebarang skim integrasi serantau, termasuk perjanjian perdagangan bebas dan/atau serantau, dapat membantu mengatasi cabaran berkaitan pandemik,” katanya.

Laporan itu mengenal pasti enam cabaran utama yang menjejaskan perdagangan yang dianggap paling kritikal: gangguan dalam mengakses barangan keperluan; gangguan dalam perdagangan dalam perkhidmatan; kesukaran dalam logistik rantaian bekalan; transformasi digital; ketelusan dan masalah peraturan yang menjejaskan perdagangan barangan keperluan.

Walaupun sebahagian daripada gangguan ini jauh lebih teruk semasa peringkat pertama pandemik, cabaran itu berterusan, katanya.

Misalnya, beberapa sekatan eksport terhadap barangan keperluan masih dilaksanakan, perdagangan perkhidmatan masih belum pulih kepada tahap sebelum pandemik dan sekatan data rentas sempadan telah meningkat di peringkat global.

“Terdapat keperluan untuk kita menyelesaikan masalah dalam logistik rantaian bekalan. Kelewatan ketibaan kapal telah meningkat hampir 50 peratus sejak pandemik bermula dan kadar fret untuk kontena sepanjang 40 kaki telah melonjak lebih 600 peratus,” kata Kuriyama.

Ringkasan dasar itu menekankan bahawa APEC, sebagai inkubator idea, boleh mengambil kira cabaran ini dan memasukkan topik baharu berkaitan perdagangan barangan, perkhidmatan, kemudahan perdagangan dan isu digital, antara lainnya, dalam program kerja FTAAP.

Kuriyama menjelaskan bahawa ekonomi anggota boleh bersama-sama komited untuk tidak melaksanakan sekatan eksport terhadap barangan keperluan dan memastikan ketersediaannya untuk pembelian komersial.

Contoh lain ialah memastikan lapangan terbang, pelabuhan, kastam dan kemudahan sempadan terus beroperasi semasa pandemik.

“Terdapat juga keperluan bagi ekonomi APEC untuk memudahkan pergerakan pekerja penting, termasuk kru udara dan pelaut maritim merentasi sempadan.

“Kerjasama sempadan dan bantuan teknikal perlu diperkukuh dengan menggunakan teknologi moden dan prosedur tanpa kertas,” katanya.

Laporan itu menyatakan bahawa penting untuk masa depan kerja dan perdagangan ialah pendigitalan. 

Katanya peraturan perdagangan moden untuk privasi data, penyetempatan data, aliran data rentas sempadan dan perdagangan elektronik (perlindungan pengguna, pembayaran elektronik dan tandatangan elektronik, antara lainnya) perlu untuk menggalakkan ekonomi digital.

“Walaupun pandemik telah mempercepatkan perubahan struktur dalam ekonomi, APEC berada dalam kedudukan untuk mempengaruhi agenda perdagangan global. 

“APEC menggalakkan daya tahan ekonomi dengan melaksanakan inisiatif kolektif, termasuk aktiviti membina kapasiti, dalam bidang yang mempunyai minat yang tinggi. Kita perlu merebut momentum ini untuk mencapai masa depan yang lebih inklusif dan mampan,” kata Kuriyama.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan