BERITA COVID–19   Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 diwarta sebagai barang kawalan mulai hari ini | Omicron: Warga emas, individu komorbid disaran elak perjalanan ke luar negara | Agong gusar penularan varian Omicron, nasihat rakyat ambil vaksin, berdisiplin, patuhi SOP - Istana Negara | Tiada keperluan tutup Parlimen, KKM ada kerangka tangani COVID-19 - Khairy | Urusan perolehan vaksin dilaksana secara teratur - PAC | 
EKONOMI

KWSP akan lancarkan 'i-Sayang' untuk tingkatkan kesejahteraan rakyat

23/11/2021 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov -- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela 2.0 peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Satu lagi kemudahan dana persaraan yang akan dilancarkan ialah i-Lindung, yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli insurans hayat dan penyakit kritikal melalui platform KWSP.

“Inisiatif lain yang kami tinjau termasuk pendekatan berperingkat ke arah mewajibkan perlindungan KWSP yang sah kepada pekerja sektor tidak formal bukan pertanian.

"Kami juga akan menyokong skim caruman lebihan sukarela yang mana ahli-ahli boleh memaksa  majikan untuk meningkatkan caruman KWSP mereka kepada lebih daripada 11 peratus kadar berkanun," katanya ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya dan fizikal hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Mengenai persidangan itu, Ahmad Badri berkata ISWC tahun ini bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai aspek isu ketaksamaan global.

"Bersama-sama, kami percaya bahawa rangka kerja perlindungan sosial yang lebih baik boleh membantu kami dalam meminimumkan, jika tidak membasmi, kesan negatifnya kepada manusia," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan awalnya berkata antara perkara yang paling membimbangkan akibat daripada pandemik ini ialah peningkatan isu ketaksamaan.

“Isu ketaksamaan ini telah wujud awal sebelum berlakunya pandemik. Walaupun banyak negara telah cuba mengurangkan impak COVID-19 dengan menggerakkan pelbagai sumber secara intensif dan berjangka pendek, usaha-usaha ini hanyalah untuk sementara waktu dan tidak memberikan penyelesaian jangka panjang yang berupaya memelihara hayat dan kehidupan masyarakat.

“Oleh itu, ISWC tahun ini telah dinaik taraf, menyaksikan para penganjur yang merupakan kuasa- kuasa berpengaruh dalam negara, telah berkumpul bersama-sama barisan penceramah yang ternama bagi menyelami isu-isu berkaitan ketaksamaan, termasuk dari aspek ekonomi, penjagaan kesihatan, dan pendidikan,” tambah Amir Hamzah.

ISWC 2021 ini dianjurkan secara bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual menutup persidangan ini esok.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan