BERITA COVID–19   PKPD di Puspen Sungai Ruan, Raub dari 28 Nov hingga 11 Dis | PKPD di Puspen Sungai Ruan, Raub dari 28 Nov hingga 11 Dis | Malaysia tumpukan VTL bersama negara jiran sebelum perluaskan ke negara lain | Episod paling sukar dalam sejarah politik urus pandemik COVID-19 - Muhyiddin | Kes baharu COVID-19 di Sarawak terus turun, catat 144 kes | 
EKONOMI

MTDC fokus kepada segmen robotik bagi bantu PMKS adaptasi pendigitalan

14/10/2021 10:20 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 14 Okt -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) memberi penekanan kepada pembangunan segmen robotik untuk memastikan syarikat tempatan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersedia mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Norhalim Yunus berkata strategik itu dapat dipacu menerusi penglibatan secara bersama dengan syarikat ekosistem MTDC.

Katanya semua penerima dana agensi tersebut bukan sahaja menerima bantuan kewangan tetapi juga dalam pengurusan kewangan, pembangunan perniagaan dan latihan untuk warga kerja syarikat dalam bidang yang diperlukan.

“Penekanan terhadap syarikat PMKS (berikutan) kita melihat apabila mereka ingin bersaing, antara aspek yang mereka perlu hasilkan ialah produk yang lebih kompetitif dan kadangkala memerlukan kepakaran dalam bidang automasi dan robotik.

“Oleh itu, kami melihat program untuk membantu usahawan meningkatkan teknologi mereka ke arah teknologi Industri 4.0 (i4.0),” katanya kepada Bernama.

Norhalim berkata MTDC sebagai agensi pelaksana perlu memulakan perjalanan ke arah i4.0 dengan memfokuskan kepada pembangunan syarikat di bawahnya dan membolehkan mereka menjadi syarikat i4.0 pada masa depan.

Katanya MTDC turut mengadakan kerjasama pelbagai hala dengan beberapa kementerian selain pihak berkepentingan dalam memastikan teknologi i4.0 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam kalangan PMKS di negara ini. 

Beliau berkata langkah tersebut membolehkan syarikat yang terlibat berkongsi kepakaran mengenai i4.0 dengan PMKS seperti yang dilakukan oleh TechCapital Resources Sdn Bhd -- sebuah syarikat yang menyediakan perisian dan kemudahan teknologi robotik. 

Katanya MTDC membantu TechCapital Resources untuk bekerjasama dengan usahawan PMKS dalam proses pemindahan teknologi, pengedaran dan usaha sama selain memberi latihan berkaitan teknologi.

“TechCapital turut menjalankan program latihan bukan sahaja melatih usahawan tempatan tetapi turut melatih guru dan pensyarah yang mengajar topik berkaitan dengan mendedahkan mereka kepada keperluan, misalnya -- bagaimana robotik ini beroperasi dan bukan hanya dari sudut akademik sahaja,” katanya.

Syarikat TechCapital Resources Sdn Bhd menghasilkan penyelesaian khas yang mengintegrasikan robotik dan teknologi automasi untuk perkakasan dan perisian, dikenali sebagai T-Robot.

T-Robot menghasilkan teknologi robot untuk meningkatkan tenaga kerja usahawan tempatan terutamanya PMKS.

Pada Expo 2020 Dubai, TechCapital Resources menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Terrabit Consulting DWC-LLC sebagai rakan penyampaian projek bagi T-Robot.

Ia turut memeterai MoU dengan Shaheena Foodstuffs Trading dalam bidang kerjasama robotik, penyelesaian pembuatan pintar, Internet Pelbagai Perkara (IOT) dan kecerdasan buatan (AI).

Penyertaan MTDC pada minggu kedua Expo 2020 Dubai itu diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

Ketua Pegawai Eksekutif TechCapital Resources Sdn Bhd Eugene Ng Keng Long berkata pemeteraian dua MoU itu menandakan hubungan kukuh antara syarikat dan rakan niaga di peringkat global.

“Kami menerima bantuan kewangan dalam bentuk Dana Permulaan Perniagaan (BSF) sebanyak RM4.4 juta.

“Sudah tentu, bantuan kewangan menjadi perkara utama tetapi bukan hanya itu, kami turut menerima jaringan perniagaan di luar negara seperti di Oman, Timur Tengah dan Tanzania,” katanya, sambil menambah ini adalah peluang untuk mengembangkan kepakaran mereka.

Beliau berkata syarikat menyasarkan untuk memasarkan produknya dengan meluas di Dubai melalui MoU berikutan Malaysia adalah pintu masuk yang baik untuk mengeksport produk dan perkhidmatan ke Timur Tengah.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan