BERITA COVID–19   Hospital Sungai Buloh sedia kontena khas simpan jenazah pesakit COVID-19 | Pengarah filem dikompaun RM10,000 jalankan penggambaran di tempat awam | JAIS kesan pelanggaran SOP PKP di beberapa masjid, surau | Larangan rentas daerah Sabah dilaksana semula 27 Mei - Masidi | COVID-19: Perkhidmatan kesihatan Sarawak lumpuh jika varian India menular | 
EKONOMI

MEF sambut baik langkah longgar Akta 446

23/04/2021 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 April -- Kelonggaran terhadap penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) akan memberikan para majikan masa yang mencukupi untuk menyediakan kemudahan penginapan yang selamat dan kondusif bagi pekerja, menurut Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Semalam Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan penguatkuasaan peraturan berhubung standard penginapan pekerja itu sehingga Disember ini.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dalam mengalu-alukan langkah itu berkata ia akan memberikan lebih banyak masa kepada majikan untuk memastikan pekerja mereka, tempatan mahupun pekerja asing, divaksin, dan mengelak daripada dikenakan hukuman berat di bawah Akta 446.

“MEF telah merayu kepada kerajaan untuk memberikan lebih banyak masa untuk mematuhi (akta itu) dan MEF mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Manusia kerana memahami masalah yang dihadapi majikan, terutama dalam tempoh yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hussain berkata keputusan itu memang tepat pada masanya dan ia memberikan ruang yang amat diperlukan majikan untuk terus beroperasi, memandangkan ramai antara mereka yang masih dalam proses untuk pulih daripada kesan buruk pandemik COVID-19.

“Semasa Akta 446 itu mula dikuatkuasakan September lepas, kebanyakan majikan yang masih sedang bergelut untuk meneruskan perniagaan mereka mendapati amat sukar sekali untuk membayar kos tambahan yang diperlukan bagi mematuhi peraturan itu, dan dianggarkan kira-kira 70 peratus majikan gagal mematuhi Akta 446 setakat ini,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan