BERITA COVID–19   Hospital Sungai Buloh sedia kontena khas simpan jenazah pesakit COVID-19 | Pengarah filem dikompaun RM10,000 jalankan penggambaran di tempat awam | JAIS kesan pelanggaran SOP PKP di beberapa masjid, surau | Larangan rentas daerah Sabah dilaksana semula 27 Mei - Masidi | COVID-19: Perkhidmatan kesihatan Sarawak lumpuh jika varian India menular | 
EKONOMI

Indeks Harga Pengguna meningkat 1.7 peratus pada Mac 2021 - Jabatan Perangkaan

23/04/2021 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 April  -- Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Mac 2021 meningkat 1.7 peratus kepada 122.9 berbanding 120.9 pada tempoh sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ini merupakan peningkatan positif bagi tempoh dua bulan berturut-turut sejak Februari 2021.

“Peningkatan dalam keseluruhan IHP ini didorong oleh kenaikan indeks pengangkutan (9.8 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (1.5 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.0 peratus) manakala hiasan, perkakasan dan penyelenggaraaan isi rumah (0.9 peratus).

“Ini turut didorong oleh minuman alkohol dan tembakau (0.6 peratus); kesihatan (0.5 peratus) dan perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.5 peratus) pula menyumbang 64.0 peratus kepada keseluruhan wajaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata daripada sejumlah 552 barangan atau item dalam IHP itu, sebanyak 338 item menunjukkan peningkatan pada Mac 2021 manakala 141 item lain sebaliknya mencatat penurunan dan 73 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barangan tidak tahan lama (296 item) adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu sebanyak 209 item, 73 item menurun dan 14 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barangan separa tahan lama dan barangan tahan lama,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menunjukkan penurunan 0.8 peratus dan diikuti oleh pakaian dan kasut (-0.3 peratus).

Selain itu, bagi perbandingan bulanan, beliau berkata IHP bagi Mac turut meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding Februari 2021 yang disumbangkan oleh pengangkutan (2.3 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.6 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.4 peratus); minuman alkohol dan tembakau (0.1 peratus); restoran dan hotel (0.1 peratus) manakala kesihatan (0.1 peratus).

Menurutnya, IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Mac 2021 kepada 113.7 berbanding 113.1 pada bulan sama 2020.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan