BERITA COVID–19   COVID: 17 masjid, surau di Perak ditutup - JAIPk | COVID: Kes terus naik mendadak, Dr Noor Hisham rayu masyarakat amal kawalan pergerakan kendiri | PKPB: Lelaki ditahan anjur majlis pertunangan dihadiri 20 orang | Kes dijangka meningkat 450 sehari di Kedah jika PKPD tidak dilaksana | PKPD di satu mukim di Besut, dua kawasan di Sarawak bermula Khamis | 
EKONOMI

EUROCHAM, FMM tubuh pasukan khas hidupkan semula FTA

22/04/2021 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 22 April -- EUROCHAM Malaysia dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mewujudkan pasukan petugas khas untuk menyokong usaha merealisasikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).

Dalam kenyataan bersama pada Khamis, kedua-dua pihak berkata pasukan itu dapat menggalakkan dialog positif antara EU dan Malaysia, mempromosi hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala selain bekerjasama dalam topik serta inisiatif yang dipersetujui secara bersama.

“Rundingan FTA antara EU dan Malaysia telah dimulakan pada 2010, namun ditangguhkan selepas diadakan sebanyak tujuh pusingan pada 2012,” katanya.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata pasukan petugas khas itu dijangka dapat memudahkan proses menghidupkan semula dialog FTA dengan EU kerana turut mewakili usaha bersama antara sektor swasta di Malaysia dan EU bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Mengambil kira impak COVID-19, FTA seumpamanya dengan EU itu sudah pasti dapat memberi sumbangan besar terhadap usaha pemulihan di pihak pengeluar pasca-pandemik selain mewujudkan semula rantaian bekalan yang kritikal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi EUROCHAM Malaysia, Oliver Roche berkata penubuhan pasukan bersama FMM itu adalah wajar berikutan keyakinan komuniti perniagaan di kedua-dua pihak bahawa FTA tersebut mampu membawa manfaat bersama.

“Malah, jangkaan konservatif juga mengunjurkan ekonomi Malaysia dapat meraih manfaat perdagangan dalam julat RM10 bilion hingga RM12 bilion. Selain itu, sumbangan penting lain adalah dalam bentuk peluang pelaburan langsung asing,” katanya.

-- BERNAMA



 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan