BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
EKONOMI

Saham Kossan naik 8.0 peratus selepas umum pendapatan suku tahunan terbaik

21/04/2021 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 21 April -- Saham Kossan Rubber Industries Bhd naik 8.0 peratus dalam dagangan awal selepas mengumumkan pendapatan suku tahunannya yang terbaik semalam.

Pada 9.30 pagi, kaunter tersebut menambah 29 sen kepada RM4.09 dengan 8.21 juta unit diniagakan.

Keuntungan bersih Kossan melonjak kepada RM1.04 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2021 daripada RM64.8 juta pada suku tahun sama tahun lepas. 

Perolehan meningkat 258.51 peratus kepada RM2.19 bilion dalam tempoh tersebut daripada RM611.46 juta sebelum ini, berikutan sumbangan yang tinggi daripada bahagian sarung tangannya, menurut pengeluar sarung tangan getah itu dalam makluman Bursa Malaysia hari ini.

Bahagian sarung tangan Kossan mencatatkan perolehan sebanyak RM2.09 bilion pada suku pertama 2021, naik 281.75 peratus daripada RM548.25 juta pada suku pertama 2020. 

Mengenai prospek, Kossan menjangka permintaan terhadap sarung tangan selepas pandemik akan terus mengalami pertumbuhan struktur berikutan standard penjagaan kesihatan dan kesedaran mengenai kebersihan yang meningkat dalam sektor perubatan dan bukan perubatan.

Oleh itu, katanya walaupun purata harga jualan (ASP) diunjurkan sederhana berikutan ketidakseimbangan permintaan-penawaran yang rendah, permintaan akan terus melebihi paras sebelum pandemik.

MIDF Research, dalam nota, mengunjurkan ASP akan terus meningkat pada suku tahun akan datang berikutan terdapat ruang untuk Kossan mencapai harga pasaran semasa.

Bagaimanapun, trajektori pandemik itu masih dipenuhi dengan ketidaktentuan walaupun negara melancarkan program vaksinasi.

“Ia turut meningkatkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2021 kami sebanyak 232.3 peratus apabila kami menaikkan ASP dan andaian margin.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan anggaran kami untuk tahun kewangan 2022 dan tahun kewangan 2023 sementara menunggu penjelasan lebih lanjut mengenai prospek permintaan dan ASP,” menurut firma penyelidikan itu, sambil menambah pihaknya turut mengekalkan saranan beli ke atas Kossan dengan harga sasaran diselaraskan pada RM5.83 daripada RM7.33 sebelum ini.

Sementara itu, AmBank Research mengekalkan saranan simpan ke atas Kossan.

Ia turut menaikkan unjuran keuntungan bersih teras tahun kewangan 2021 sebanyak 38 peratus berikutan ia menaikkan andaian ASP kepada US$47/1,000 unit daripada US$45/1,000 unit dan purata kos gas asli kepada RM25.00 setiap juta unit thermal British (MMBtu) daripada RM34.80b MMBtu, sejajar dengan harga baharu yang ditetapkan oleh Gas Malaysia Bhd.

AmBank Research turut menaikkan keuntungan bersih tahun kewangan 2022 Kossan sebanyak 2.0 peratus. 

“Mengenai masa depan, kami percaya ASP sarung tangan akan mengalami penurunan pada separuh kedua tahun kewangan 2021. Keperluan segera untuk sarung tangan dijangka berkurangan berikutan langkah-langkah vaksinasi COVID-19 di peringkat global yang mula dilaksanakan.

“Bagaimanapun, permintaan terhadap sarung tangan dijangka kekal stabil selepas pandemik berikutan penggunaan sarung tangan yang lebih luas di negara-negara membangun,” katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan