BERITA COVID–19   PKPD Bunut Susu: Ujian saringan pertama selesai, 235 individu positif | P. Pinang mohon kerajaan persekutuan segera lulus ujian RT-PCR pekerja kilang | Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | 
EKONOMI

Dasar pelaburan baharu dibentang kepada kabinet Rabu ini - Azmin Ali

20/04/2021 12:41 AM

KUALA LUMPUR, 19 April  -- Kertas Kabinet mengenai dasar pelaburan negara yang baharu untuk menarik lebih ramai pelabur berkualiti ke negara ini akan dibentang kepada Kabinet pada Rabu ini, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Beliau berkata dasar baharu itu dirangka dalam usaha menjadikan  Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan dijangka dilaksanakan serta-merta. 

"Dasar yang akan diperkenalkan ini memberi tumpuan kepada bidang inovasi, teknologi dan digital. Malah dalam lawatan kerja saya ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru ini, mereka turut menyambut baik pelaksanaan dasar pelaburan baharu itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat tarawih bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves dekat Gombak, di sini malam ini. 

Mohamed Azmin berkata dasar baharu itu juga adalah sejajar dengan garis panduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

Mengenai pelaburan baharu syarikat gergasi teknologi global Microsoft di negara ini, beliau berkata ia adalah bukti bahawa pelabur asing masih yakin untuk melabur di Malaysia dan menjadi hab utama pelaburan mereka. 

"Justeru itu, negara juga perlu bersedia untuk menyediakan dan mengetengahkan tenaga kerja dan bakat tempatan bagi memenuhi keperluan industri ini," katanya. 

Hari ini, negara menyaksikan kerjasama dengan syarikat itu dengan pelaburan asing berjumlah US$1 bilion (RM4 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang bagi penubuhan pusat data serantau yang pertama di Malaysia. 

Pelaburan itu dijangka berupaya menjana pendapatan baharu kira-kira US$4.6 bilion (RM19 bilion) selain membantu mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan teknologi maklumat untuk rakyat tempatan.

Ditanya mengenai tindakan ahli Parlimen pembangkang bercadang menghantar surat kedua kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok, bagi memohon perkenan baginda menerima petisyen rayuan menamatkan darurat, Mohamed Azmin berkata pembangkang sepatutnya memanfaatkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang turut dianggotai pembangkang, sebagai saluran untuk berbuat demikian.

"Sepatutnya mereka (pembangkang) gunakan jawatankuasa khas ini yang tidak dipengaruhi oleh pihak Eksekutif dan jawatankuasa ini beri maklum balas terus kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan