BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

MTDC, SG Akademi bekerjasama perkukuh pembangunan tenaga kerja dalam industri dron 

20/04/2021 09:56 AM

KUALA LUMPUR, 20 April  -- Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bekerjasama dengan SG Akademi Sdn Bhd (SGA) untuk mengukuhkan pembangunan tenaga kerja dalam industri dron melalui Centre of 9 Pillars (Co9P).

Kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini untuk bekerjasama dalam bidang pembinaan kapasiti, latihan, pembangunan teknologi dan aktiviti khusus lain seperti menyediakan perkhidmatan teknologi berkaitan dengan Industri 4.0 (I4.0), dengan kepakaran dalam teknologi dron dan Internet of Things (IoT). 

Co9P menempatkan rakan kongsi I4.0 dan syarikat ekosistem yang relevan serta memudahkan rangkaian untuk sama-sama membangunkan teknologi, perkhidmatan dan penyelesaian I4.0 tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata kerjasama itu akan menyaksikan kedua-dua pihak akan mengenal pasti lebih ramai peserta untuk latihan, bengkel dan seminar.

“Kerjasama itu turut menggariskan komitmen MTDC sebagai pengubah strategik untuk I4.0 berikutan pusat itu menyasarkan untuk membangunkan pengendali dron mahir dan diperakui generasi akan datang dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua organisasi dalam menangani keperluan industri yang cepat berubah,” katanya.

Pada acara menandatangani MoU itu, SGA menyampaikan tajaan sebanyak RM100,000 untuk mengukuhkan pembangunan tenaga kerja dalam industri dron.

Mengenai penyediaan latihan dan penyelesaian dalam teknologi dron untuk Co9P, tajaan itu akan memberi manfaat kepada 20 pelajar dari Institut Kemahiran Baitulmal yang akan menjalani kursus latihan dron selama 14 hari di Co9P Drone dan pusat IoT.

Pada masa sama, penubuhan pusat itu membolehkan MTDC untuk terus membantu perniagaan Malaysia dalam mengenal pasti tenaga kerja tempatan untuk keperluan dron mereka yang disesuaikan serta dalam penciptaan dan pembangunan usahawan teknologi dron.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan