BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

Aktiviti pengumpulan modal dijangka kembali kepada tahap sebelum pandemik tahun ini

19/04/2021 03:27 PM

KUALA LUMPUR, 19 April  -- Aktiviti pasaran modal Malaysia berada di landasan untuk bertambah baik pada 2021, dengan minat pengumpulan dana di beberapa sektor menunjukkan peningkatan kepada tahap sebelum berlakunya pandemik, menurut Maybank Investment Bank Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif, Fad’l Mohamed berkata minat di seluruh pasaran modal ekuiti dan hutang serta dalam ruang penggabungan dan pengambilalihan didapati meningkat. 

Beliau berkata minat mendalam juga wujud untuk menjadi penerbit kali pertama (tawaran awam awal - IPO) bagi tiga kategori syarikat dalam ruang ekuiti.

Kategori itu ialah syarikat yang meraih manfaat daripada kesan COVID-19 (sarung tangan dan penjagaan kesihatan); syarikat yang dapat mengharungi situasi pandemik dengan baik dan menunjukkan daya tahan (kewangan dan teknologi kewangan); serta syarikat yang pada awalnya terjejas namun kemudian pulih pada kadar lebih kukuh berbanding jangkaan (logistik dan peserta hartanah tertentu).

“Dalam pasaran modal hutang, kami menjangkakan aktiviti itu setara dengan prestasi sebelum pandemik berlaku, walaupun pengumpulan dana oleh korporat buat masa ini lebih menumpukan pembiayaan semula dan infrastruktur berbandung pembangunan kapasiti baharu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata pasara bon dan sukuk Malaysia dimanfaatkan seluasnya bagi projek infrastruktur sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan trend tersebut dijangka berterusan pada 2021.

Fad’l berkata pertambahan aktiviti juga mungkin berlaku dalam ruang penggabungan dan pengambilalihan memandangkan pasaran kini kembali yakin.

Beliau berkata penggabungan dan pengambilalihan dijangka didorong oleh aliran pelabur ekuiti persendirian yang sedang mencari peluang untuk menjana keuntungan daripada pelaburan mereka serta syarikat multinasional yang meneliti semula skala operasi masing-masing.

“Pandemik yang masih berlaku sejak 12 bulan lepas telah membuktikan daya tahan pasaran modal Malaysia, yang akan terus kekal pelbagai dan kukuh untuk menyokong aktiviti pengumpulan modal.

“Kejayaan pelaksanaan IPO bernilai RM1.5 bilion oleh MR D.I.Y. Group (M) Bhd yang terus mencatatkan prestasi lepas pasaran yang kukuh dengan penyertaan aktif pelabur institusi asing di samping jumlah nilai bon dan sukuk yang kukuh sebanyak RM104 bilion pada 2020 memberi petanda baik bahawa masih terdapat mudah tunai yang lebih daripada mencukupi dalam pasaran,” katanya.

Fad's berkata persekitaran kadar faedah rendah terus menyokong mudah tunai domestik.

Jumlah nilai dana dilaburkan di Malaysia oleh syarikat pengurusan dana berlesen meningkat daripada RM620.1 bilion pada 2019 kepada RM649.5 bilion pada akhir 2020 dalam keadaan negara mengalami pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan