BERITA COVID–19   PKPD Bunut Susu: Ujian saringan pertama selesai, 235 individu positif | P. Pinang mohon kerajaan persekutuan segera lulus ujian RT-PCR pekerja kilang | Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | 
EKONOMI

Jualan asing meningkat kepada RM235.2 juta minggu lepas

19/04/2021 01:00 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 19 April -- Jualan asing ekuiti tempatan meningkat kepada RM235.2 juta bersih pada minggu lepas berbanding RM77.9 juta bersih pada minggu sebelumnya, menurut Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim.

Beliau berkata Selasa lepas mencatatkan aliran keluar bersih asing harian tertinggi sejak 31 Mac 2021 berikutan pelabur asing menjual ekuiti bersih tempatan sebanyak RM161.5 juta.

Dana antarabangsa menjual RM48.7 juta bersih ekuiti tempatan pada Isnin lepas dalam keadaan aktiviti pengambilan untung selepas gembar-gembur mengenai penggabungan Axiata Group dan Digi.com Bhd reda berbanding minggu sebelumnya, menyebabkan dua saham itu merosot lebih 3.0 peratus pada Isnin.

Menurut Adam, aliran keluar bersih asing Malaysia setakat ini berjumlah RM2bilion bersih atau US$493.9 juta dengan April mencatatkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM267.3 juta bersih setakat ini.

“Wujud harapan baik daripada data perdagangan China yang menunjukkan pertumbuhan eksport 30.6 peratus tahun ke tahun, manakala import melonjak 38.1 peratus tahun ke tahun yang menandakan permintaan dari China yang kekal kukuh.

“Bagaimanapun, kebimbangan semakin meningkat susulan dakwaan vaksin COVID-19 China adalah kurang berkesan untuk menyembuhkan penyakit itu, menimbulkan persoalan dari Brazil ke Hungary yang bergantung kepada suntikan itu di samping usaha inokulasi negara itu sendiri,” katanya kepada Bernama.

Menurut Adam, aktiviti jualan bersih asing diteruskan pada Rabu meskipun pada kadar yang perlahan sebanyak RM52.7 juta bersih berikutan laporan bahawa Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah meningkatkan ramalan permintaan minyak global pada 2021.

“IEA meningkatkan anggaran pertumbuhan penggunaan minyak pada tahun ini sebanyak 230,00 tong sehari kepada 5.7 juta tong sehari di tengah-tengah unjuran kukuh terhadap Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Pada Khamis, jualan bersih asing selama lima hari berakhir apabila pelabur asing mengambil alih RM78.6 juta bersih ekuiti tempatan,” katanya.

Bagaimanapun, pelabur luar pesisir kembali kepada mod jualan pada Jumaat apabila RM50.9 juta bersih ekuiti tempatan dijual di tengah-tengah kebimbangan mengenai kes harian COVID-19 di Malaysia.

Sementara itu, menurut MIDF Research, setakat 16 April, FBM KLCI merosot 0.24 peratus daripada minggu sebelumnya, ditutup pada 1,608.38 mata, manakala ringgit menyusut kira-kira 0.20 peratus berbanding dolar US kepada USD/MYR 4.1257 pada Jumaat lepas.

Bagaimanapun, kebanyakan pasaran ekuiti utama di seluruh dunia menyaksikan prestasi yang positif pada minggu lepas, didorong sentimen menggalakkan daripada data ekonomi AS yang positif, semakan  meningkat ke atas Tabung Kewangan Antarabangsa berhubung ramalannya bagi ekonomi dunia 2021 dan mengurangkan hasil bon.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan