BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

Kerajaan pastikan pembaharuan ekonomi sejajar dengan penanda aras global termasuk ESG - Azmin

15/04/2021 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 15 April -- Kerajaan telah memastikan pembaharuan ekonomi selaras dengan penanda aras global, termasuk matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata hasil daripada aspek ini juga akan mencerminkan komitmen Malaysia dalam memudahkan pelabur, meningkatkan kecekapan dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan.

“Ia menekankan agenda menentukan cadangan nilai pelaburan Malaysia terkandung dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) kita, strategi memandang ke hadapan bertujuan untuk menarik pelaburan yang berkualiti didorong oleh inovasi, teknologi tinggi, ekonomi hijau dan penyertaan rantaian bekalan domestik yang lebih besar,” katanya dalam ucapan pada pertemuan antara pemain industri dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), inisiatif itu tepat pada masanya berikutan Malaysia ke arah mempercepatkan pemulihan ekonomi dalam landskap ekonomi global yang amat mencabar.

MITI berkata pertemuan itu menyediakan saluran yang kondusif kepada pihak berkepentingan industri untuk berkongsi isu-isu di lapangan, memberikan cadangan yang membina kepada kerajaan dan membincangkan peluang untuk membantu peserta industri memulihkan perniagaan mereka yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

“Perkara yang dibincangkan pada sesi tersebut termasuklah perlu mengutamakan peserta industri yang dianggap sebagai barisan hadapan ekonomi negara untuk Program Vaksinasi Negara; penggunaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan serta fleksibiliti mekanisme pembiayaan dan kawalan harga untuk produk/industri yang terpilih,” menurut MITI dalam kenyataan.

Pertemuan itu turut membincangkan mengenai pengurusan dan keperluan tenaga kerja; menambah baik kemudahan untuk pelaburan baharu; ratifikasi segera Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP); serta menyambung semula Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA) dan pembangunan NIA baharu.

Pada sesi tersebut, kementerian itu berkata para peserta turut dimaklumkan mengenai impak positif yang dapat dibawa oleh program Safe@Work MITI kepada perniagaan mereka.

Mengenai masa depan, MITI berkata ia akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi kerajaan lain dan yang paling penting dengan peserta industri, untuk memastikan Malaysia dapat memulihkan ekonominya selepas pandemik.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan