BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

MIDF bekerjasama dengan MIDA promosi geran automasi pintar kepada PKS, MTC

14/04/2021 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 April -- Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menawarkan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) mendapat manfaat daripada Geran Automasi Pintar (SAG) MIDA.

Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata MoU itu menggariskan hubungan erat antara MIDA dan MIDF serta komitmen bersama mereka untuk menyokong syarikat yang ingin melaksanakan automasi dan pemodenan.

“Sebagai sebuah negara, kita perlu meningkatkan produktiviti dan nilai tambah perniagaan Malaysia kepada tahap lebih tinggi dalam menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Melabur dalam automasi dan pendigitalan adalah antara cara untuk mencapainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut untuk mempromosikan dan memudahkan penggunaan SAG melalui pakatan strategik.

“Di bawah pakatan ini, MIDA akan memberikan geran kepada syarikat yang layak, manakala MIDF akan menawarkan pembiayaan kepada syarikat ini untuk baki perbelanjaan mereka.

“Selain itu, syarikat yang layak yang telah menikmati kemudahan pembiayaan daripada MIDF dapat mengurangkan komitmen kewangan mereka selepas permohonan untuk SAG berjaya,” katanya.

Katanya inisiatif SAG, yang diperkenalkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dengan peruntukan awal sebanyak RM100 juta, dilancarkan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 2 Dis 2020.

MIDF berkata geran itu diberikan kepada PKS dan MTC yang layak pada asas padanan atau 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan yang layak, sehingga had maksimum geran sebanyak RM1 juta bagi setiap syarikat.

“Berdasarkan sambutan yang menggalakkan untuk SAG, kerajaan mengumumkan dana tambahan RM50 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) untuk mendorong lebih banyak PKS dan MTC meningkatkan operasi dan pengeluaran mereka melalui automasi dan pendigitalan,” katanya.

Katanya PKS dan MTC yang telah menjalankan aktiviti pembuatan atau perkhidmatan sejak 12 bulan lepas layak dipertimbangkan untuk SAG.

“Mesin, peralatan atau perisian automatik yang dibeli melalui geran ini mesti digunakan secara langsung dalam rantaian nilai syarikat untuk layak mendapat insentif ini,” katanya.

Katanya peningkatan dalam dua komponen - produktiviti dan kecekapan, akan dinilai berdasarkan pelbagai kriteria seperti mengurangkan pekerja tidak mahir, jam kerja, kadar kecacatan dan peningkatan dalam jumlah pengeluaran.

“Syarikat yang berminat disaran untuk mengemukakan permohonan kepada pelbagai bahagian industri dan perkhidmatan di MIDA,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan