BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

KPPK, kerajaan negeri Sabah sepakat perkasakan industri agrikomoditi peringkat huluan 

10/04/2021 01:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 April -- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan kerajaan negeri Sabah telah mencapai kata sepakat untuk memaju dan memperkasakan sektor agrikomoditi melibatkan buluh, koko, getah dan sawit di negeri itu, khususnya di peringkat huluan. 

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan antara beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 April lepas. 

Katanya KPPK dan kerajaan negeri berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan Sabah sebagai pengeluar koko yang unggul. 

“Suatu langkah bersepadu akan diambil oleh kedua-dua pihak untuk meningkatkan saiz ladang koko,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkata usaha itu dijangka dapat membantu rakyat di negeri tersebut untuk meningkatkan pendapatan mereka, lebih-lebih lagi selepas terkesan dengan pandemik COVID-19. 

Katanya dalam sektor buluh, Sabah akan menyediakan tanah yang dikendalikan oleh salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri manakala peranan KPPK ialah memadankan syarikat swasta berkaitan buluh di peringkat hiliran bagi melengkapkan kitaran pasaran komoditi.

Bersesuaian dengan jumlah pekebun getah di Sabah, Mohd Khairuddin berkata satu persetujuan konsensus telah dicapai membabitkan Projek Transformasi Perusahaan Getah (TARGET) yang bakal diperluaskan di negeri berkenaan khusus bagi penghasilan getah krip. 

Katanya persefahaman dalam memperkasakan promosi kemampanan dan kelestarian hutan menerusi Yayasan Pemuliharaan Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF), sebuah yayasan di bawah agensi KPPK iaitu Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) turut dipersetujui.

Katanya beberapa program yang signifikan telah dan sedang dilaksanakan, antaranya Inventori Populasi Orang Utan Sabah, menanam satu juta pokok hutan di Lower Kawag iaitu sebahagian daripada Kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Malua dan Projek Santuari Hidupan Liar Gajah Borneo. 

“Ia bakal diperkukuhkan lagi dengan aktiviti baharu yang berterusan. KPPK berharap kerjasama erat yang dijalin dengan kerajaan negeri Sabah ini bakal melonjakkan lagi aktiviti ekonomi sektor agrikomoditi negara selari dengan usaha memulihara flora dan fauna negara,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan