BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

MCMC jangka DNB akan buka tender 5G tidak lama lagi

09/04/2021 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 9 April -- Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dibangunkan untuk memberikan liputan yang lebih luas dan kualiti pengalaman jalur lebar yang lebih baik selain mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G dilihat berada di landasan yang tepat untuk aspirasi dan sasarannya.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek membayangkan bahawa tender untuk pembangunan infrastruktur 5G yang dianggarkan bernilai RM15 bilion akan diumumkan tidak lama lagi.

“Saya percaya ia akan dibuka tidak lama lagi, tetapi bukan MCMC untuk menyatakannya. Digital Nasional Bhd (DNB) akan mengeluarkan kenyataan yang sewajarnya,” katanya pada Persidangan Pelabur RHB hari ini. 

Katanya DNB, syarikat tujuan khas (SPV) yang akan melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara bertanggungjawab untuk pemilihan tender. 

Beliau berkata perkhidmatan komersial 5G boleh didapati pada suku keempat 2021.

Aspirasi nasional JENDELA ialah sembilan juta premis dilengkapi kelajuan melebihi 100Mbps menerusi pelaksanaan 5G dan liputan 4G sebanyak 100 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2025.

Menurut Fadlullah, 5G berpotensi untuk mewujudkan 105.000 pekerjaan baharu dan penggunaan teknologi dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang berkemahiran rendah.

“Matlamat kami ialah mempunyai rangkaian 5G yang selamat, berdaya tahan dan kukuh serta dapat mengupayakan aplikasi Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan pembelajaran mesin.

“Dengan 5G, kita dapat meningkatkan daya saing industri dan memberi perkhidmatan kepada rakyat, syarikat dan kerajaan dengan lebih baik,” katanya. 

Beliau berkata 5G penting kepada ekonomi yang akan memastikan daya saing digital Malaysia. 

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan