BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
EKONOMI

AXA, GFlex40 tawar insurans perniagaan digital untuk PKS

09/04/2021 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 April  -- AXA Affin General Insurance Bhd (AXA) bekerjasama dengan  syarikat teknologi insurans GFlex40  bagi melancarkan FlexyProtect, pelan perlindungan perniagaan dalam talian yang memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif AXA Emmanuel Nivet berkata dengan memanfaatkan keupayaan teknologi GFlex40 -- yang berkongsi aspirasi dan nilai sama dalam mengutamakan pelanggan -- AXA berusaha untuk menawarkan pelan perlindungan perniagaan yang mudah, berpatutan dan mudah diakses melalui teknologi digital yang inovatif.

“Melalui kerjasama ini, kami bukan sahaja dapat membantu PKS dalam mengurangkan risiko yang tidak terduga, malah memudahkan akses terhadap perlindungan perniagaan kepada mereka.

“Seiringan dengan kekuatan agensi kami yang memiliki kepakaran dan pengalaman, kami percaya kami dapat memperkasakan PKS dengan menawarkan perlindungan dan sokongan kewangan yang berterusan untuk membantu perniagaan mereka dalam dunia yang semakin digital ini,” kata Nivet.

Ditaja jamin oleh AXA, FlexyProtect menawarkan tiga pelan mudah dan kos efektif yang dapat disesuaikan berdasarkan keperluan persekitaran perniagaan semasa.

“Ia memberi PKS fleksibiliti untuk memilih manfaat yang diingini, daripada perlindungan komprehensif hingga manfaat khusus untuk gerai makanan dan minuman serta pusat pembelajaran.

“Dengan memperkenalkan pengalaman digital daripada mula hingga akhir, proses permohonan dapat diringkaskan lagi kepada hanya tiga hingga lima langkah mudah, sekali gus mengurangkan masa yang diperlukan untuk memperoleh insurans perniagaan dari beberapa hari ke beberapa minit sahaja,” kata AXA.

Menurutnya, ini dapat direalisasikan melalui teknologi proprietari dalaman GFlex40 - Expert Visual (aided) Actuarial Nexus (EVAN), yang menguasakan kebolehan GFlex40 untuk melaksanakan aktiviti dengan tepat seperti penajajaminan pelanggan berdasarkan peraturan, pengenalan biometrik dan pengesahan pelanggan (E- KYC). 

FlexyProtect boleh dibeli melalui portal dalam talian GFlex40.

Untuk maklumat lanjut, sila layari visit www.flexyprotect.com.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan