BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
EKONOMI

MDEC alu-alukan kehadiran Clarivate, Syarikat MSC ke-100 dari UK

08/04/2021 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengalu-alukan kehadiran Clarivate, syarikat ke-100 dari United Kingdom (UK) yang mendapat pengiktirafan MSC Malaysia, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur yang berterusan ke negara ini.

Clarivate, peneraju global dalam memberikan maklumat dan pandangan yang dipercayai bagi memacu pertumbuhan inovasi bagi organisasi, akan membuka Pusat Perniagaan Global (GBC) -- satu daripada tiga di dunia, iaitu di Pulau Pinang.

Pembukaan pusat ini akan mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai peranan teknologi digital. 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata perbadanan itu menyambut baik kehadiran Clarivate ke MSC Malaysia yang akan menyumbang kepada objektif Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN. 

“Ia akan menjadi syarikat berstatus MSC ke-100 dari UK untuk beroperasi di sini dan saya berharap lebih banyak syarikat akan mengikut jejak langkah ini selaras dengan perkembangan pesat ekonomi digital yang dijangka menyumbang 22.6 peratus terhadap kepada keluaran dalam negara kasar menjelang 2025.

“MDEC akan terus memacu masyarakat dalam ekonomi digital ke hadapan berpaksikan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat, mendorong kemakmuran bersama sejajar dengan Malaysia 5.0," katanya.

MDEC akan meneruskan usaha dalam memenuhi mandat untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini menerusi kerjasama dengan Jabatan Perdagangan Antarabangsa UK melalui Pesuruhjaya Tinggi British Kuala Lumpur serta rakan organisasi mereka, Dewan Perdagangan Britain-Malaysia. 

Sehingga kini, MSC Malaysia telah menarik pelaburan keseluruhan bernilai RM345 bilion dan mewujudkan hampir 185,000 pekerjaan.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Setempat Clarivate Pulau Pinang, Shankar Nagalingam berkata syarikat itu teruja untuk membuka GBC di Malaysia kerana ia melihat sokongan yang kuat dari segi infrastruktur, kepelbagaian dan tenaga kerja.

“Malaysia adalan hab pelaburan yang menarik dan mengukuhkan kehadiran kami di rantau ini dapat memacu visi kami untuk meningkatkan peranan kami dalam mencipta, memelihara dan pengkomersialan inovasi. 

“Kami merancang untuk meluaskan perniagaan kami di Malaysia dan menggajikan 150 hingga 200 pekerja dalam masa 12 bulan akan datang,” katanya.

--  BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan