BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
EKONOMI

MDEC: Keperluan majukan ekonomi digital bagi menggantikan dasar kabotaj

08/04/2021 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Keperluan membangunkan ekonomi digital perlu diberi keutamaan daripada dasar kabotaj, dan pengecualian terhadap dasar ini perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik bagi infrastruktur digital, terutamanya seiring aspirasi untuk menjadi Nadi Digital ASEAN seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL).

Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, meskipun wujud dua pendapat bertentangan mengenai isu dasar kabotaj dan bagaimana ia menjejaskan industri kabel Internet bawah laut, kedua-duanya mempunyai alasan kukuh yang memerlukan penjelasan.

“Bagaimanapun, pengecualian dasar kabotaj kepada industri adalah perkara yang tepat untuk dilakukan.. dasar kabotaj memberi kesan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan khususnya untuk pelaburan digital bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pengecualian kabotaj perlu diputuskan segera, manakala undang-undang perlu dipinda untuk menghapuskan aktiviti kabel dasar laut daripada definisi kabotaj untuk menarik lebih banyak pelaburan, terutamanya pelaburan digital bernilai tinggi dalam jangka panjang.

Mengulas selanjutnya, Rais berkata pengembalian semula dasar kabotaj untuk pembaikan kabel dasar laut pada November 2020 telah mengejutkan pelabur dan syarikat telekomunikasi tempatan dengan menyifatkannya sebagai langkah ketinggalan.

Ini berikutan pelabur telah menunjukkan minat yang tinggi dan sebahagiannya berada di peringkat akhir untuk membuat pelaburan, menyedari bahawa pengecualian itu akan mengurangkan masa baik pulih dan meningkatkan kebolehpercayaan.

“Oleh itu, industri terkejut dengan tindakan mendadak untuk mengembalikan semula pengecualian kabotaj tanpa rundingan dengan pihak berkepentingan bagi melindungi syarikat tunggal. Ia mewujudkan risiko terhadap infrastruktur digital penting dan ekonomi digital yang berkembang dengan menjadikannya kurang menarik bagi pelaburan infrastruktur,” katanya.

Dari perspektif berbeza, Rais berkata penggiat maritim telah menyuarakan kebimbangan terhadap keperluan penting untuk membangunkan keupayaan tempatan, namun gangguan bekalan kabel dasar laut di Malaysia iaitu antara enam hingga sembilan kali setahun pada beberapa tahun lepas menunjukkan peluang pasaran domestik yang sebenar masih tidak mencukupi untuk membolehkannya melabur dalam kapal khusus.

“Selain itu, ada perkhidmatan maritim lain di perairan Malaysia dengan peluang pasaran lebih besar dan kos penyertaan lebih rendah yang boleh disertai oleh pemain tempatan dan membina kebolehan mereka untuk bersaing,” katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, jumlah kapal seumpama itu tidak melebihi 60 di dunia, sehubungan itu, ia perlu dikongsi.

Pemansuhan pengecualian dasar kabotaj telah memberi kesan kepada pelabur kerana perubahan yang dilakukan itu dibuat tanpa perundingan terlebih dahulu. Oleh itu, tidak terdapat kepastian atau kestabilan yang memberi keyakinan kepada pelabur.

“Dari sudut lain, penangguhan kerja-kerja pembaikan telah dikurangkan kepada 10 hari dan oleh itu, perbincangan berterusan mengenai pengecualian kabotaj merupakan isu kecil.

“Tidak terlalu lewat, namun mengubah dasar sewenang-wenangnya tanpa berbincang dengan pihak berkepentingan adalah isunya kerana ia jelas menunjukkan ketidakpastian dan peningkatan risiko kepada pelabur. Bagaimana sekiranya dasar lain berubah secara tiba-tiba dan sewenang-wenangnya?,” kata beliau.

Impak kepada pengembalian semula pengecualian kabotaj adalah segera - dua kabel baharu telah diumumkan baru-baru ini oleh Facebook dan Google dan akan mendarat di Singapura dan Indonesia. Kedua-duanya tidak akan mendarat di Malaysia.

Ada sumber industri yang kukuh memberi petunjuk bahawa tiga kabel baharu yang pada awalnya dirancang untuk mendarat di Malaysia kini ‘di bawah kajian semula’ seperti pelaburan pusat data berpotensi melibatkan pelaburan langsung asing berjumlah RM12 bilion dan RM15 bilion.

Berikutan pandemik, Malaysia memerlukan lebih banyak pelaburan seumpama itu berbanding sebelum ini dan untuk berbuat demikian, negara tidak boleh membuat sesuatu yang kekal sama.

Gangguan kabal dasar laut di Malaysia pada saban tahun adalah kecil, namun setiap minit berlakunya gangguan itu akan menyebabkan kerugian besar kepada ekonomi, reputasi dan peluang negara kerana ia boleh berlaku dalam beberapa hari, minggu atau bulan.

Lebih lama masa diambil untuk membaik pulih kabel dasar laut, lebih lama negara tidak terhubung dari segi digital, sekali gus menghalang rakyat Malaysia daripada menerima kesalinghubungan sebagai hak asas utiliti pada zaman moden ini.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan