BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
EKONOMI

MIU, MPOB meterai MoU bangunkan penyelidik untuk industri minyak sawit dunia

08/04/2021 04:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Manipal International University (MIU) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Khamis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangunkan penyelidik yang menyumbang kepada kemajuan mampan industri sawit di Malaysia dan peringkat dunia.

MIU merupakan sebuah universiti di Malaysia dan ia sebahagian entiti di bawah Perkhidmatan Pendidikan Global Manipal (MaGE).

“Tujuan utama MoU ini untuk membolehkan pelajar lepasan ijazah MIU dalam bidang bioteknologi melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit di MPOB.

“Para pelajar akan berpeluang mendapatkan kepakaran dan kemudahan penyelidikan di MPOB untuk melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit yang akan dipantau bersama oleh MPOB dan MIU,” menurut MIU dan MPOB dalam kenyataan bersama pada Khamis.

Kedua-dua pihak menjelaskan MoU tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Selain itu, penyelidik MPOB akan diundang sebagai pensyarah jemputan untuk berkongsi kepakaran dalam bidang bioteknologi berkaitan sawit dengan pelajar ijazah dan lepasan ijazah MIU, menurutnya.

“Ini akan meningkatkan minat pelajar untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai industri sawit dan mendedahkan mereka kepada perkembangan teknologi terkini yang dibangunkan oleh MPOB,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, MIU juga melancarkan program Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (Phd) dalam bidang penyelidikan bioteknologi.

Program lepasan ijazah dalam bidang bioteknologi itu telah ditawarkan pada suku terakhir 2020 dan merancang untuk mendaftarkan kumpulan pelajar lepasan ijazah pertamanya pada April 2021.

Usaha sama dengan MPOB adalah penting bagi MIU kerana dapat menyediakan peluang akses kepada institusi penyelidikan minyak sawit terkemuka di dunia itu sekali gus membantu para pelajar mengenai industri sawit mampan di Malaysia, jelasnya.

MPOB merupakan institusi penyelidikan terkenal dan berprestij di dunia dalam penyelidikan, pembangunan dan inovasi sawit, serta pengkomersilan bahan tanaman sawit dan produk hiliran.

MIU yang ditubuhkan pada 2010, terus berkembang dalam bidang pendidikan dan penyelidikan serta memperolehi Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA) bertaraf lima bintang dalam kategori universiti baharu daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada 2020.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan