BERITA COVID–19   SIC diarah tangguh semua kejohanan drag | Kluster Jalan Canning Estate: Bazar Ramadan Stadium Perak dikawal ketat | COVID: 607 kes positif baharu, angka tertinggi direkod di Sarawak | Empat lokaliti di tiga daerah di Sabah, empat kampung di Pahang dikenakan PKPD esok | WHO terbit garis panduan sempena perayaan keagamaan | 
EKONOMI

Tidak Perlu Tetapkan Sasaran Tinggi Untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) Negara

08/04/2021 03:54 PM

Oleh Mikhail Raj Abdullah

KUALA LUMPUR, April 8 -- Malaysia tidak seharusnya ditekan untuk menetapkan sasaran yang lebih tinggi di bawah dasar tenaga boleh diperbaharui (RE) negara.

Lagipun, salah satu keutamaan bagi apa-apa dasar adalah memastikan bahawa ia tidak akan menjadi beban kewangan kepada rakyat.

Justeru, saranan kerajaan agar penggiat industri tidak menetapkan sasaran yang terlalu tinggi untuk RE amat bertepatan sekali.

Kerajaan telah meletakkan sasaran RE sebanyak 31 peratus untuk tahun 2025 dan 40 peratus bagi   2035. Sehubungan itu, pelepasan karbon daripada bahan bakar fosil dijangka berkurangan 45 peratus pada 2025 dan 60 peratus menjelang tahun 2035.

Bagaimanapun, segelintir pihak mendesak untuk sasaran RE yang lebih tinggi, hanya kerana kos menjana elektrik daripada tenaga solar jauh lebih rendah berbanding dengan bahan bakar fosil.

Terdapat juga gesaan untuk meningkatkan kuota bagi penggiat industri melibatkan diri dalam tenaga solar.

Difahamkan tarif untuk solar telah menyusut kepada 18.46 sen/kilowatt jam daripada 45.43 sen / kilowatt jam pada tahun 2017.

Tetapi kos bekalan elektrik kepada pengguna tidak ditentukan sepenuhnya oleh kos penjanaan kerana ia juga perlu menyeimbangkan tiga elemen yang terkandung dalam trilemma (tiga pilihan sukar) tenaga - kemampuan dan akses, keselamatan tenaga dan kelestarian/kemampanan alam sekitar.

Tenaga solar pada masa ini tidak memenuhi tiga prasyarat berkenaan kerana ladang-ladang solar hanya menghasilkan tenaga apabila terdapat pancaran cahaya matahari, yang bermakna terdapat keberubahan atau ketidakpastian dalam bekalan tenaga solar.

Ini boleh mendatangkan malapetaka bagi sektor komersial dan perindustrian sekiranya mereka bergantung kepada tenaga solar kerana sektor-sektor ini menggunakan sekitar 80 peratus daripada bekalan elektrik negara.

Kita mesti mengambil pendekatan berhati-hati dalam menggunakan tenaga solar sebagai RE. Sebaliknya, grid elektrik lebih boleh dipercayai kerana ia dirancang untuk menangani perubahan permintaan elektrik pelanggan.

Oleh itu, perlunya keseimbangan berterusan antara penjanaan dan permintaan dan mengekalkan rizab.

Sebarang peningkatan besar dalam penggunaan tenaga solar untuk membekalkan elektrik memerlukan konsolidasi semua grid kuasa.

Ini akan menyumbang kepada peningkatan kos bekalan elektrik yang akan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna termasuk mereka tidak mempunyai sistem solar.

Sifat tenaga solar yang berselang-seli bermakna kita hanya akan mempunyai tenaga solar selama 4-5 jam sehari, bergantung kepada keadaan cuaca.

Oleh kerana keadaan yang tidak konsisten ini, penjanaan tenaga daripada sumber alternatif diperlukan untuk grid tenaga menampung kekurangan.

Bagaimanapun, sekiranya jumlah tenaga solar yang memasuki grid meningkat, ini boleh  membahayakan keselamatan bekalan elektrik, sekali gus menjejaskan pengguna.

Justeru, langkah-langkah diperlukan untuk meningkatkan fleksibiliti grid menerusi pendigitalan dan pengembangan sistem penyimpanan tenaga.

Kesemua kos untuk menyokong tenaga solar dalam grid mestilah dipertimbangkan agar tidak membebankan pengguna.

Ini terutamanya bagi pengguna yang tidak menggunakan tenaga solar serta mereka yang menanggung kos semasa memasang panel solar di bumbung rumah mereka.

Bagi menyeimbangkan trilemma (tiga pilihan sukar)  tenaga, adalah mustahak Malaysia mengembangkan RE mengikut termanya sendiri berdasarkan kemampuan teknikalnya dan tidak sekadar meniru atau menyalin sasaran ekonomi maju.

Kemampuan rakyat untuk mendapatkan akses kepada bekalan elektrik yang mampan juga sama pentingnya.

Namun begitu, penekanan kerajaan agar unjuran atau sasaran yang ditetapkan perlu dinamik amat dialu-alukan.

Ini bermaksud menyemaknya dari semasa ke semasa, dengan mengambil kira kemajuan teknologi terkini, kesediaan bekalan elektrik negara dan kos integrasi RE ke dalam grid.

Kos sahaja tidak cukup sebagai kriteria untuk menetapkan sasaran RE dan kerajaan amat praktikal dan pragmatik dalam mempertimbangkan trilemma tenaga untuk memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat dalam menerima tenaga bersih.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan