EKONOMI

AGROBANK, MTDC BEKERJASAMA PERCEPATKAN AMALAN I4.0 KE DALAM SEKTOR PERTANIAN

08/04/2021 12:24 AM

KUALA LUMPUR, 7 April -- Agrobank dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia  (MTDC) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama serta mempromosikan program pembangunan usahawan dan seterusnya mempercepatkan amalan teknologi Industri 4.0 (i4.0) ke dalam sektor pertanian Malaysia. 

Melalui kerjasama ini, Agrobank akan menyediakan pembiayaan kewangan sebanyak RM20 juta kepada 200 usahawan berkaitan sektor pertanian yang dikenal pasti oleh MTDC bagi memulakan fasa pertama inisiatif program pembangunan usahawan itu. 

''Setiap usahawan akan menerima dana berjumlah RM100,000 maksimum,” kata Agrobank dan MTDC dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Usahawan yang dikenal pasti akan dipandu, dilatih termasuk akan menerima bantuan teknikal melalui penyedia teknikal MTDC iaitu Akademi Latihan Usahawan Teknologi (TENTRA) dalam menyediakan latihan keusahawanan, manakala Pusat 9 Tonggak MTDC (Co9P) akan menghubungkan usahawan dengan pengajar yang berpengalaman untuk semua latihan dan keperluan penyelesaian i4.0.

Bagi pemeteraian MoU yang menandakan kerjasama itu, Khadijah Iskandar yang mewakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank telah menurunkan tandatangan, yang mana, MTDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Norhalim Yunus serta disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Pengerusi Agrobank Datuk Mustapha Buang serta Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat.

Menurut Ronald, kerjasama antara Agrobank dan MTDC adalah gabungan terbaik dalam merealisasikan wawasan i4.0 dengan amalan pertanian pintar dan moden dalam sektor pertanian. 

Katanya, pelbagai latihan termasuk acara perkongsian ilmu yang akan dianjurkan antara kedua-dua entiti itu diharap dapat mempercepatkan penggunaan teknologi i4.0 khususnya dalam bidang pertanian moden serta pintar dalam kalangan pengusaha. 

"Amalan pertanian pintar dan moden telah diramalkan sebagai masa depan baharu dalam spektrum pertanian tempatan. Saya gembira wawasan ini direalisasikan melalui kerjasama ini bagi tujuan menyokong industri pertanian.

"Usahawan akan diperkenalkan kepada penggunaan robot dalam pertanian pintar yang akan membawa kepada pengurusan yang lebih baik termasuk pengurangan kos operasi. Pertanian pintar berpotensi untuk menyampaikan bentuk pengeluaran pertanian yang lebih produktif dan mampan," katanya. 

Sementara itu, Mustapha berkata prospek sektor pertanian untuk dekad akan datang kelihatan menjanjikan walaupun menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, populasi yang semakin meningkat dan kekurangan sumber. 

''Sektor pertanian atau lebih tepat sektor agro makanan, terus menjadi salah satu enjin pertumbuhan penting bagi ekonomi negara, Oleh itu, dengan menceburi konsep perniagaan baharu yang melibatkan teknologi, kami percaya ini adalah merupakan cerminan bagaimana pertanian akan dijalankan pada masa hadapan dan ia perlu bermula dari sini. Amalan i4.0 mempunyai masa depan yang cerah jika bijak digunakan dalam perniagaan pertanian."

Abd Rahman berkata perkongsian itu akan membolehkan usahawan mendapat manfaat daripada rangkaian MTDC yang luas dan kerana ia akan menyediakan peluang pemasaran, rangkaian termasuk penyelesaian teknologi untuk pertanian pintar dan moden. 

"Internet pelbagai Perkara (IoT) akan mengubah bagaimana kita melihat pertanian. MTDC, sebagai pemboleh strategik untuk i4.0, komited untuk membantu semua usahawan dalam penggunaan teknologi i4.0 yang dibangunkan oleh bakat dan sumber tempatan kami," tambah Abd Rahman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan