BERITA COVID–19   COVID-19 wujudkan globalisasi maya, ketengah pelbagai peluang baharu - Pakar | Komuniti perniagaan perlu guna pakai strategi berpusat syarikat | COVID-19: Singapura lepasi 60,000 kes | 231 sekolah rendah di Sarawak dibenar beroperasi secara bersemuka mulai Isnin | TV Pendidikan diteruskan, sasar pelajar tertentu - Radzi | 
EKONOMI

COVID-19 beri peluang industri penerbangan ASEAN promosikan pelancongan

23/02/2021 10:53 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 23 Feb  -- Walaupun timbul kesan buruk akibat COVID-19 namun di sebaliknya, ia memberikabn peluang untuk ASEAN memainkan peranan aktif dalam industri penerbangan, terutama bagi mempromosikan pelancongan dan meningkatkan ekonomi serantau secara keseluruhan.

Presiden Rolls-Royce Asia Tenggara, Pasifik dan Korea Selatan, Dr Bicky Bhangu berkata walaupun sektor penerbangan mungkin terhenti sementara akibat pandemik, namun ia akan lebih berdaya tahan sekiranya langkah tindak balas berstruktur yang tepat dilaksanakan.

“Tindak balas berstruktur tidak dapat dilakukan hanya dengan sokongan luaran seperti bantuan kewangan kerajaan dan tindak balas yang telah dipertimbangkan oleh industri.

“Sebaliknya pembaharuan memberi peluang untuk memperkukuh dialog antara pembuat dasar dan menetapkan satu piawaian seragam, di samping pendekatan untuk menangani krisis serta memanfaatkan peluang,” katanya pada webinar bertajuk ‘Industri Penerbangan: Membawa Kita Sekali lagi ke Awan Biru?’ pada Selasa.

Bhangu juga merupakan Pengarah Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT).

Senada dengan perspektif beliau ialah Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Penerbangan, Malaysia Airports Holdings Bhd, Mohamed Sallauddin Mohamed Shah yang berpandangan meskipun mengalami cabaran semasa, bahagian utama perjalanan domestik dan jarak dekat Asia Tenggara akan menunjukkan potensi mampan dalam tempoh pemulihan pascapandemik.

“Ini akan dipacu oleh pertambahan jumlah penduduk kelas pertengahan dan penggunaan swasta, manakala ekonomi rantau ini telah berkembang hampir 70 peratus pada dekad lepas,” katanya.

Ahli panel lain, Bekas Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata walaupun dasar ruang udara terbuka ASEAN telah diratifikasikan, namun dalam aspek lapangan terbang sekunder, perkembangan berkaitannya adalah perlahan atau tiada sebarang penambahbaikan.

“Ia bergantung kepada negara-negara anggota ASEAN serta syarikat penerbangan itu sendiri,” katanya semasa menjawab soalan mengenai ruang udara terbuka ASEAN atau dikenali sebagai Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN.

Sementara itu, Pengarah Pangolin Investment Management, Mohshin Aziz berkata penting untuk pembaharuan industri penerbangan dilaksanakan memandangkan dalam tempoh pemulihan pascapandemik, lebih banyak syarikat penerbangan akan mengalami bankrap selain penyatuan lapangan terbang walaupun vaksin COVID-19 telah sedia ada.

Pangolin Investment Management merupakan firma pengurusan dana khusus yang pada masa ini menguruskan Dana Asia Pangolin dan Dana Pemulihan Penerbangan Pangolin.

“Pasaran bagaimanapun akan lebih efisien, walaupun kadar pertumbuhannya akan lebih perlahan,” katanya.

Beliau berkata negara-negara mampu memiliki sehingga dua syarikat penerbangan manakala negara yang lebih besar seperti China dan Amerika Syarikat dapat memiliki sehingga lima syarikat penerbangan.

Berkenaan dengan vaksin, Mohshin berkata pihak berkuasa yang relevan sewajarnya menetapkan dan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan seragam.

Beliau berkata di peringkat tempatan, kerajaan perlu menggerakkan Kementerian Kesihatan untuk menjadi sebahagian dalam usaha mengalakkan perjalanan.

“Di peringkat global pula, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa; Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia mesti berusaha sebaik mungkin untuk meratifikasikan dan mewujudkan pasport vaksin bersama yang diterima di seluruh dunia.

“Sekiranya ini berjaya dilaksanakan, sudah tentu amat membantu pemulihan perjalanan udara dan jika kad vaksin ini kembali, kita tidak seharusnya ragu-ragu. Sistem komputer yang ada sekarang adalah lebih canggih dan ini dapat dilakukan dengan mudah dan tanpa kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata vaksin akan amat membantu meningkatkan keyakinan dan kesahan penumpang.

“Ini berpotensi membatalkan keperluan kuarantin di samping meningkatkan pemulihan perjalanan secepat mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan