BERITA COVID–19   PKPD di Kampung Serumah, Padawan mulai esok - JPBN | 205 individu ditahan semalam ingkar SOP PKP - Ismail Sabri | COVID: 1,680 kes baharu, tujuh kematian direkodkan hari ini | MAIS salur wang fidyah RM545,500, bantu 5,455 keluarga terkesan COVID-19 | Aktiviti sukan, rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP | 
EKONOMI

Metronic sasar perolehan US$1 bilion daripada kit ujian sistem imun COVID-19

23/02/2021 10:46 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb -- Metronic Global Bhd menjangka meraih perolehan US$1 bilion daripada monopolinya dalam rantaian kit ujian sistem imun COVID-19 di seluruh dunia. 

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata ia menerima pra-pesanan bagi sejumlah 50 juta kit ujian daripada syarikat di Asia Tenggara yang menyebabkan nilai perolehan kontraknya melonjak sebanyak US$350 juta.

Syarikat itu menerima dua surat hasrat daripada MTPS Innotech yang membuat prapesanan 30 juta kit ujian bernilai US$210 juta dan Genesprint Group Limited yang membuat prapesanan 20 juta kit ujian bernilai US$140 juta.

Pada 2 Feb, anak syarikat milik penuh Metronic, Metronic Medicare Sdn Bhd memeterai perjanjian penyelidikan dan pembangunan bersama dengan Joysbio (Tianjin) Biotechnology Co Ltd bagi kit ujian. 

“Kit ujian ini menganalisis tahap imuniti pesakit daripada jangkitan COVID-19 pada masa depan selepas pesakit menerima suntikan vaksin.

“Jika imuniti pesakit berbanding COVID-19 di bawah paras boleh diterima, pesakit mungkin dicadangkan mengambil dos vaksin tambahan. Alat ujian itu juga boleh mengesan orang yang dijangkiti COVID-19,” kata Metronic.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarh Eksekutifnya Hoo Wai Keong berkata kuantiti jualan kit ujian dijangka mencecah 152 juta, mewakili hanya dua peratus daripada jumlah penduduk dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Jika sasaran jualan 152 juta kit ujian dicapai, ia akan dapat menjana perolehan sehingga US$1 bilion bagi Metronic. Kumpulan pertama pesanan dijangka datang daripada kumpulan farmaseutikal dari Thailand, Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Filipina,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan