BERITA COVID–19   PKPD di Kampung Serumah, Padawan mulai esok - JPBN | 205 individu ditahan semalam ingkar SOP PKP - Ismail Sabri | COVID: 1,680 kes baharu, tujuh kematian direkodkan hari ini | MAIS salur wang fidyah RM545,500, bantu 5,455 keluarga terkesan COVID-19 | Aktiviti sukan, rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP | 
EKONOMI

Untung bersih suku keempat Petron meningkat kepada RM42 Juta

23/02/2021 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb  -- Keuntungan bersih Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd (PMRMB) meningkat kepada RM42.01 juta pada suku keempat berakhir 31 Dis, 2020, berbanding RM28.96 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, hasil menyusut kepada RM1.51 bilion daripada RM2.91 bilion sebelum ini disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan kejatuhan harga minyak, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

PMRMB berkata ketika suku akhir tahun lepas, kerajaan telah mengenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan kes COVID-19.

“Berikutan penurunan pergerakan dan aktiviti ekonomi ketika PKPB, syarikat mencatatkan jumlah jualan yang lebih rendah iaitu 6.8 juta tong ketika suku berkenaan, berbanding 9.2 juta tong pada suku keempat 2019,” katanya.

Syarikat itu berkata harga minyak mentah penanda aras Dated Brent meningkat kepada purata US$50 (US$1=RM4.04) setong pada Disember 2020, daripada purata US$41 setong pada September 2020.

Ia menambah ini disebabkan meningkatnya keyakinan pasaran terhadap pemberian vaksin COVID-19 bersasar, ditambah dengan pemotongan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum  (OPEC) dan sekutunya.

“Bagaimanapun, purata US$44 setong pada suku keempat 2020 kekal 30 peratus lebih rendah berbanding purata US$63 setong pada suku keempat 2019,” katanya.

Melangkah ke hadapan, syarikat itu kekal yakin ia bersedia berdepan pelbagai cabaran menerusi operasi yang berdaya tahan, ditambah dengan langkah pengurusan sumber dan risiko yang berhemah.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Pengerusi PMRMB Ramon S. Ang berkata syarikat itu sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19 dan yakin ia akan bangkit daripada kejatuhan sementara.

"Komitmen kami untuk mendorong pertumbuhan dan pemulihan kekal kukuh ketika kami berdiri bersama Malaysia dalam usaha untuk bangkit kembali," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan