BERITA COVID–19   Aktiviti sukan, rekreasi individu dan berpasukan dibenarkan di kawasan PKPB, PKPP | Pelatih polis sembuh COVID-19, selesai kuarantin dibenar jalani latihan - Bukit Aman | COVID-19 wujudkan globalisasi maya, ketengah pelbagai peluang baharu - Pakar | Komuniti perniagaan perlu guna pakai strategi berpusat syarikat | COVID-19: Singapura lepasi 60,000 kes | 
EKONOMI

Syarikat Takaful Malaysia catat keuntungan RM362.42 juta bagi tahun kewangan 2020

23/02/2021 07:39 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb  -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd mencatatkan keuntungan bersih rendah sebanyak RM362.42 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020, berbanding RM364.84 juta pada tahun kewangan 2019.

Hasil susut kepada RM2.96 bilion daripada RM3.12 bilion pada tahun sebelumnya disebabkan jualan rendah daripada perniagaan Takaful Keluarganya. 

Penyedia insurans itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Takaful Keluarga menjana sumbangan kasar rendah sebanyak  RM1.76 bilion bagi tahun kewangan 2020 berbanding RM2.04 bilion pada tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan jualan rendah daripada produk berkaitan kredit dan produk perubatan kumpulan. 

Ia berkata penurunan tersebut adalah disebabkan kesan daripada pandemik COVID-19 yang menjejaskan aktiviti perniagaan.

Bagaimanapun, manfaat bersih dan tuntutan bagi Takaful Keluarga susut sebanyak enam peratus kepada RM751.9 juta bagi tahun kewangan 2020 daripada RM801.6 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

Penurunan tersebut disebabkan terutamanya tuntutan perubatan yang rendah. 

Pendapatan pelaburan meningkat sebantak tiga peratus kepada RM286.0 juta berbanding RM277.9 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya berikutan pendapatan keuntungan tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap.  

Bagi tahun kewangan 2020, Takaful Keluarga merekodkan keuntungan nilai adil sebanyak RM17.2 juta, yang mana kurang RM13.1 juta berbanding keuntungan nilai adil RM30.3 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. 

Sementara itu, kumpulan tersebut berkata perniagaan Takaful Amnya menjana sumbangan kasar sebanyak RM756.5 juta bagi tahun kewangan 2020, meningkat tujuh peratus berbanding RM706.2 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

 Pertumbuhan itu disumbang terutamanya daripada kelas motor. 

“Manfaat bersih dan tuntutan bagi perniagaan Takaful Am susut sebanyak 24 peratus kepada RM153.2 juta bagi tahun kewangan 2020 daripada RM202.2 juta dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya berikutan tuntutan rendah berkaitan dengan kelas motor.

“Pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2020 ialah sebanyak RM30.7 juta, lebih kurang sama berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya pada RM31.2 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan