Selasa, 26 Januari 2021
EKONOMI
14/01/2021 08:53 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan  -- Kerajaan sedang memperkukuh pelan untuk meningkatkan lagi amalan buruh yang baik dalam kalangan pemegang kepentingan industri sawit, kata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. 

Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Ravi Muthayah berkata industri minyak sawit sedang berdepan dengan tuduhan buruh paksa dan buruh kanak-kanak dan kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menepis tuduhan tersebut. 

“Tuduhan ini semuanya berdasarkan kepada persepsi tetapi kita sebenarnya telah menjalankan kajian bersama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai sama ada terdapat elemen buruh paksa dalam industri tersebut. 

“Kajian kita menunjukan bahawa berdasarkan kepada metodologi yang disokong oleh ILO, kadar kelaziman buruh paksa dan buruh kanak-kanak di Malaysia adalah hanya 0.8 peratus dan 0.2 peratus,” katanya semasa forum 40-minute Reuters Next Virtual mengenai pengeluaran minyak sawit di Asia hari ini. 

Kajian tersebut dijalankan pada 2017 dan selesai pada 2018, katanya.

Ravi berkata demikian sebagai menjawab soalan berkaitan dengan pengumuman Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikeluarkan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) pada 30 Dis, 2020.

CBP Amerika Syarikat menahan produk minyak sawit daripada Sime Darby Plantations Bhd (SDP) dan anak-anak syarikatnya, usaha sama dan entiti sekutunya di Malaysia berikutan dakwaan penggunaan buruh paksa yang dipetisyenkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Liberty Shared.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) berkaitan dakwaan itu, Ravi berkata RSPO mengesahkan reviu awal dapatan audit yang dilakukan awal tahun lepas tidak menunjukkan sebarang pelanggaran peraturan oleh SDP.

Mengulas mengenai perkara ini, Pengarah Urusan Sime Darby Oils Sdn Bhd Mohd Haris Mohd Arshad  berkata syarikat perladangan itu ketika ini sedang berbincang dengan sebuah NGO dan dinasihatkan untuk memilih atau melantik pengantara yang akan mengumpul maklumat dan menilai sama ada terdapat bukti buruh paksa di kawasan perladangan sawitnya. 

SDP telah melantik firma audit PricewaterhouseCoopers (PwC) dan NGO bebas antarabangsa yang mengkhususkan dalam hak pekerja migran untuk mengukuhkan lagi pematuhan hak asasinya.

“Cabaran kami adalah kami perlu mengetahui dapatan mereka agar kami boleh mengambil tindakan, Malangnya, kami masih sedang menunggu butiran terperinci. Kami tidak boleh meneruskannya sehingga kami mengetahui butiran terperinci yang kami boleh ambil tindakan. 

“Tidak mengetahui di mana berlaku penyalahgunaan adalah satu perkara, tetapi sebaliknya, anda mendedahkan pekerja ini dianiaya, yang mana tidak betul,” katanya.

Sementara itu, Ravi berkata industri sawit Malaysia kini menumpukan untuk meningkatkan produktiviti dan hasil dan bukannya mengembangkan tanah bagi penanaman. 

“Kami komited kepada janji kami kepada isu penebangan hutang dan perubahan penggunaan tanah secara langsung atau tidak langsung. Kerajaan Malaysia telah menetapkan maksimum tanah yang boleh digunakan bagi sawit sebanyak 6.5 juta menjelang 2023,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan