KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Standard Chartered (StanChart) menyasarkan ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 3.90 menjelang akhir tahun ini dengan prospek yang lebih baik bagi mata wang tempatan itu.
Ketua Penyelidikan Pertukaran Asing bagi ASEAN dan Asia Selatan StanChart, Divya Devesh berkata ringgit diunjur mengatasi mata wang serantau lain sejajar dengan peningkatan perdagangan global, pemulihan harga komoditi dan pengukuhan yuan China.
“Kita telahpun melihat pemulihan perdagangan global. Harga komoditi juga pulih agak kukuh dan daripada apa yang kita perhatikan semasa tempoh pemulihan perdagangan global, ringgit cenderung mencatatkan prestasi yang tinggi.
“Berbanding negara-negara Asia lain, Malaysia mempunyai kolerasi tertinggi dengan kuantiti perdagangan global di seluruh Asia,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media Prospek Global 2021 yang diadakan secara maya hari ini.
Divya berkata peningkatan harga komoditi termasuk yang dieksport oleh Malaysia seperti minyak sawit mentah dan gas asli cecair, dijangka merancakkan lagi eksport negara dan ringgit.
Beliau berkata ringgit masih lagi di bawah nilai rendah sebanyak 9.0 peratus walaupun pada paras semasa.
Divya berkata pelabur asing mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah lonjakan semula kes COVID-19 di Malaysia dan ia tidak menyebabkan aliran keluar segera.
“Kita masih dalam persekitaran yang mana hutang berkaitan hasil negatif di seluruh dunia menghampiri US$17 trilion. Dan berbanding hutang berkaitan hasil negatif yang semakin meningkat Malaysia sebenarnya menawarkan peningkatan hasil dalam terma nominal dan sebenar.
”Ya, ada sedikit kebimbangan domestik, tetapi secara keseluruhan, pelabur pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa ini,” katanya lagi.
-- BERNAMA
TENTANG KAMI
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com
Kategori
• Am
• Ekonomi
• Sukan
• Politik
• Dunia
• Rencana
• Tinta Minda
• Infografik
• Video
• Images
• Siaran Media Eksklusif
Lain-lain
• Laman Korporat
• Hubungi Kami
• Produk dan Perkhidmatan
• Kerjaya@BERNAMA
• Sebutharga / Tender
Ikut Kami
Hak Cipta