Sabtu, 16 Januari 2021
EKONOMI
11/01/2021 09:23 PM

GEORGE TOWN, 11 Jan -- Pulau Pinang akan menyesuaikan dengan perubahan struktur yang berlaku susulan pandemik COVID-19 serta ketegangan geopolitik dan memanfaatkan peluang yang muncul untuk pemulihan jangka panjang yang lebih mampan.

Dalam satu kenyataan, penasihat pelaburan khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata pandemik dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China telah mencetuskan perubahan yang memihak kepada usaha untuk memastikan kebergantungan, konsistensi dan keselamatan bekalan.

“Hal ini, sekali gus, mendorong perusahaan mempelbagaikan jejak geografi mereka, termasuk lokasi seperti Pulau Pinang.

“Dalam masa yang sama, perdagangan serta perubahan geografi terkini telah mewujudkan peluang kepada syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang untuk menembusi rantaian bekalan yang sebelum ini tertutup buat kami, serta blok perniagaan yang sebelum ini dimonopoli oleh syarikat multinasional,” katanya.

Beliau berkata penutupan sempadan antarabangsa, aktiviti ekonomi yang perlahan, gangguan berkala pengeluaran pembuatan dan penangguhan pelaburan langsung kemungkinan akan berlanjutan sekurang-kurangnya hingga separuh pertama tahun ini.

Meskipun vaksin COVID-19 telah tersedia, beliau berkata isu-isu seperti keberkesanannya, kemampuan untuk meningkatkan produksi, logistik pengedaran dan keutamaan vaksinasi masih belum dapat diselesaikan.

Menurut Lee, perang perdagangan AS-China akan berterusan walaupun berlaku pertukaran presiden AS dan ia berpotensi meningkatkan dengan tindak balas terselaras terhadap China daripada dunia perindustrian.

China, katanya, akan mempertahankan pendiriannya dan tidak membiarkan dasar domestik dan keselamatan negara ditentukan oleh negara industri.

“Dalam keadaan ini, masa adalah penting. Negara perlu memanfaatkan gelombang peluang baharu ini atau jika tidak akan terlepas peluang dengan negara lain dalam perlumbaan untuk merapatkan jurang. Untuk berhadapan dengan gelombang ini, kita memerlukan tenaga kerja,” katanya.

Pada masa depan, katanya, Pulau Pinang akan terus memberi tumpuan untuk mengukuhkan daya saingnya bagi menarik minat pelaburan langsung domestik dan asing yang berkualiti tinggi dengan melahirkan tenaga kerja berkualiti tinggi, yang penting untuk mendorong sektor pembuatan dan perkhidmatan berintensifkan pengetahuan.

“Melahirkan kumpulan tenaga kerja adalah keutamaan Pulau Pinang pada 2021, dan kerajaan negeri akan berusaha mengenal pasti, memupuk dan memajukan bakat tempatan, serta ekonomi ke tahap yang maksimum,” katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan