Selasa, 24 November 2020
EKONOMI
22/11/2020 09:08 PM

Oleh Mohd Shukri Ishak

BANDUNG, 22 Nov -- Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil hari ini mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk menyertai projek Rebana Metropolitan yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan industri dan ekonomi baharu di provinsi berpenduduk 50 juta orang itu.

Projek Metropolitan Rebana yang dilancarkan Ridwan pada 18 Nov lepas merupakan kawasan industri baharu di Jawa Barat, Indonesia meliputi tujuh daerah iaitu Kabupaten Sumedang, Majalengka, Cirebon, Subang, Indramayu, Kuningan dan Kota Cirebon.

Kawasan keseluruhan projek itu adalah berkeluasan 43,913 hektar, melibatkan peruntukan pemerintah Jawa Barat sebanyak Rp350 trilion, antaranya bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Jawa Barat (BIJB) di Kertajati Majalengka, Pelabuhan Antarabangsa Patimban di Subang dan pembangunan lebuh raya Cisumdawu (menghubungkan Cileunyi-Sumedang- Dawuan) di provinsi berkenaan.

"Setakat ini projek itu menarik minat pelabur dari Taiwan dan Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan saya amat mengharapkan pelabur-pelabur dari Malaysia menyertai projek berkenaan yang bakal mewujudkan lebih empat juta peluang pekerjaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar bagi membincangkan potensi dan kerjasama pelaburan baharu dan kerjasama sosioekonomi melibatkan Malaysia dan provinsi Jawa Barat.

Ridwan berkata beliau sendiri bersedia memberikan taklimat menerusi webinar kepada syarikat-syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai projek berkenaan.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden Perkumpulan Aliansi Persahabatan Malaysia-Indonesia Febrian Amanda, Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi Indonesia Har Man Ahmad dan Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia Roslan Othman.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan