Selasa, 24 November 2020
EKONOMI
22/11/2020 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov -- Takaful Ikhlas General Bhd memperkenalkan pelan takaful dalam talian IKHLAS Home Protect Takaful (IKHLAS Home Protect) bersempena Minggu Saham Digital (MSD) 2020.

IKHLAS Home Protect adalah pelan perlindungan komprehensif dan ideal yang memberikan perlindungan lengkap untuk kediaman serta isi rumah daripada kerugian atau kerosakan akibat kebakaran, kilat, petir, kebakaran bawah tanah, letupan dan limpahan tangki air.

Selain itu, IKHLAS Home Protect juga memberi perlindungan daripada kerugian atau kerosakan akibat banjir terhadap kediaman dan isi rumah peserta, demikian menurut Takaful Ikhlas, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Bhd dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, pelan perlindungan itu turut menyediakan manfaat tambahan ke atas bangunan kediaman yang meliputi tunai pendahuluan, bantuan pembiayaan kediaman dan kerosakan kepada cermin kaca serta isi rumah yang merangkumi perlindungan harta di kawasan kediaman, kehilangan wang, kebakaran belukar dan lalang serta kerosakan harta benda akibat pokok tumbang atau ranting dan sebagainya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Bhd Eddy Azly Abidin berkata pelan perlindungan IKHLAS Home Protect kini boleh didapati secara dalam talian selaras dengan matlamat untuk menyediakan perkhidmatan yang efisien, mudah dan pantas kepada orang ramai.

“Sebelum ini, IKHLAS Home Protect hanya dipromosikan melalui ejen takaful, kaunter cawangan Takaful IKHLAS serta saluran e-mel Salam IKHLAS. Kini pelan perlindungan takaful rumah yang komprehensif ini boleh diakses di hujung jari bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya dengan selamat,” katanya. 

Menurut Eddy Azly, selain menyediakan perlindungan yang komprehensif untuk kediaman dan isi rumah, IKHLAS Home Protect juga dapat memberi pulangan lebihan (jika ada), sekiranya tiada tuntutan dibuat terhadap sijil.

Selain itu, antara keistimewaan lain IKHLAS Home Protect adalah peserta menerima manfaat IKHLAS Wakaf & Endowmen (IWE) dengan memperuntukkan RM1,000 di atas nama peserta untuk sumbangan wakaf atau endowmen kepada institusi yang diiktiraf sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan.

Menurut kenyataan itu, bersempena penganjuran MSD, orang ramai boleh melanggan pelan perlindungan IKHLAS Home Protect Takaful secara dalam talian di www.takaful-ikhlas.com.my dengan rebat sebanyak 15 peratus.

Orang ramai yang mendapatkan produk-produk Takaful IKHLAS sepanjang tempoh MSD juga berpeluang menyertai Cabutan Rezeki IKHLAS dan memenangi hadiah-hadiah menarik.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti Takaful IKHLAS bersempena MSD, layari laman media sosial rasmi Takaful IKHLAS iaitu @takafulikhlas.official di Instagram dan @TakafulIKHLAS di Facebook serta laman web rasmi Takaful IKHLAS www.takaful-ikhlas.com.my.

MSD yang dilancarkan Permodalan Nasional Berhad pada 19 Nov -- adalah adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia -- dalam situasi pandemik COVID-19.

MSD bersiaran setiap hari dari 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam dari 18 hingga 24 Nov 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube rasmi MSD.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan