Sabtu, 28 November 2020
EKONOMI
20/11/2020 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov -- Langkah-langkah perlu untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama Malaysia dan New Zealand, adalah antara yang dibincangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang hari ini menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya di negara itu, Jacinda Ardern.

Muhyiddin menerusi hantaran di Facebooknya hari ini berkata perbualan mengenai perkara itu memfokuskan pada bidang ekonomi dan pelancongan selain usaha merapatkan hubungan antara Malaysia dan New Zealand.

Sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung secara maya melibatkan 21 Ketua-Ketua Ekonomi APEC malam ini, Muhyiddin turut menyuarakan penghargaan kepada New Zealand terhadap sokongannya kepada Malaysia sehingga terbentuknya Visi APEC Pasca-2020.

"Malaysia yakin, dokumen strategik jangka panjang itu akan memandu APEC ke arah menjadi wilayah yang lebih terbuka, dinamik, berdaya tahan dan makmur pada tahun-tahun mendatang. 

"Saya berkongsi perjalanan mencabar Malaysia selaku penganjur APEC 2020 dalam keadaan penularan pandemik COVID-19," katanya.

Muhyiddin turut berterima kasih kepada New Zealand atas sokongan dalam mencari penyelesaian kepada beberapa isu seperti Sistem Perdagangan Multilateral, Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP) dan Integrasi Ekonomi Serantau (REI).

Perdana Menteri berharap New Zealand akan memberi sokongan dalam usaha mencapai kata sepakat berhubung Deklarasi Kuala Lumpur pada penghujung Sidang Kemuncak APEC malam ini.

"Deklarasi ini penting bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang melanda rantau ini,” katanya.

Muhyiddin juga berharap Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru ditandatangani oleh 15 ekonomi pada Ahad lepas, akan mempermudah serta memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara negara anggota termasuk New Zealand.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya itu yang dipilih semula sebagai perdana menteri New Zealand bagi penggal kedua.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Ardern dan Parti Buruh pimpinannya atas kejayaan memenangi pilihan raya umum negara itu pada 17 Okt lepas," katanya. 

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan