Sabtu, 28 November 2020
EKONOMI
19/11/2020 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menggesa kalangan kerajaan ASEAN, penggiat tenaga serta sektor awam dan swasta untuk bekerjasama dan saling memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi mencapai masa depan karbon yang rendah serta mampan.

Setakat ini, negara-negara anggota ASEAN secara kolektif telah bersepakat menyasarkan matlamat besar untuk mempertingkat kecekapan tenaga, mengehadkan pelepasan bahan api fosil serta mengembangkan peranan tenaga boleh diperharui terutamanya dalam sektor tenaga.

Malah, ini turut memaparkan petanda positif bahawa rantau itu bergerak ke arah haluan yang tepat.

Gesaan itu dibuat oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam ucapannya bertajuk ‘Southeast Asia Energy Outlook in a Global Context’ pada majlis perasmian Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) secara maya, semalam.

Beliau berkata rantau ASEAN juga telah memulakan usaha ke arah tenaga karbon neutral atau semula jadi dan terdapat banyak peluang lagi untuk memperkukuh kerjasama serantau dan mewujudkan ekosistem tepat bagi menggalakkan penggunaan sumber tenaga bersih dan mampan secara meluas, terutama solar dan angin.

“Peralihan menuju masa depan yang rendah karbon itu memerlukan tindakan bersepadu dan kolektif daripada semua pihak yang berkepentingan,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik juga menyifatkan dorongan dan penglibatan kerajaan membangunkan serta melaksanakan dasar-dasar menyokong tenaga dan peraturan yang mesra perniagaan sebagai penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Pada masa sama, kerjasama sektor awam-swasta akan membantu menarik pelaburan langsung asing berteraskan teknologi selain pemilik teknologi dan pihak penyedia penyelesaiannya.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk menangani apa disifatkannya sebagai ‘trilemma’ tenaga iaitu keselamatan, kemampanan dan kemampuan.

“Peralihan tenaga ASEAN dalam konteks ‘trilemma’ tenaga adalah pada kadar berbeza berikutan sebahagian besar rantau ini merangkumi negara-negara sedang membangun dengan agenda ekonomi dan sosial yang saling bersaing.

“Walaupun keselamatan tenaga itu kekal menjadi keutamaan ASEAN, namun anggotanya perlu membuat menseimbangkan antara kemampuan dan keselamatan tenaga. Atas alasan itu, Petronas komited untuk terus membekalkan tenaga di samping menseimbangkan ‘trilemma’ tenaga tersebut,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata gas asli kekal menjadi keutamaan Petronas sebagai sumber tenaga fosil bersih dan menawarkan penyelesaian berterusan bagi memenuhi keperluan tenaga penduduk Asia Tenggara yang kian meningkat.

Selain tenaga solar dan angin, beliau berkata kumpulan itu juga melihat peluang dalam sumber tenaga baharu yang berupaya melengkapi portfolio gas asli cecair (LNG), termasuk hidrogen.

Malah, katanya, kumpulan itu kini berusaha mewujudkan pakatan mampan dengan kalangan penyedia teknologi untuk membangunkan bahan api hidrogen yang sifar pelepasan dan dihasilkan daripada produk berasaskan biologi dan kejuruteraan karbon.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan