Sabtu, 28 November 2020
EKONOMI
15/11/2020 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov -- Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan mengawal selia syarikat kredit dan pajakan di bawah peruntukan Akta Perkhidmatan Kewangan atau peraturan lain yang berkaitan.

Gesaan itu dibuat berikutan kebimbangan persatuan tersebut mengenai kegagalan syarikat kredit dan pajakan untuk melanjutkan moratorium pinjaman seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang turut meminta kerajaan mempertimbangkan langkah yang sesuai dan perlu untuk memastikan tindakan oleh syarikat kredit dan pajakan sejajar dengan kebajikan, kepentingan awam dan kesejahteraan negara semasa pandemik COVID-19.

Beliau berkata menurut laporan media, sebanyak 10,000 pengusaha bas kini mempunyai hutang mencecah RM3 bilion.

“Pengusaha bas telah terjejas sejak Mac, dan mereka masih perlu membuat pembayaran balik kepada syarikat kredit dan pajakan. Ia adalah ironi walaupun dalam perniagaan pinjaman dan pajakan, syarikat kredit dan pajakan tidak dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sudah lebih enam bulan industri pelancongan, terutamanya pengusaha bas, mengetengahkan masalah ini, namun hingga saat ini, tiada tindakan proaktif telah diambil untuk mengatasi isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Tan berkata perkara itu telah dibangkitkan sebelum ini pada Mac 2020 apabila MATTA menerima aduan daripada ahlinya bahawa syarikat kredit dan pajakan membuat amalan dan peraturan mereka sendiri berkaitan moratorium ke atas pembayaran balik pinjaman berbanding melaksanakan arahan yang dikeluarkan oleh BNM.  

Bagaimanapun, katanya tiada kementerian yang berkaitan yang terlibat secara langsung dalam perkara itu menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah dalam industri pelancongan.

“Kegagalan untuk menangani masalah dan kebimbangan dalam sektor pelancongan akan menjejaskan industri itu untuk memulakan semula pada 2021 dan boleh menyebabkan pihak lain beranggapan bahawa kerajaan melihat industri tersebut sebagai ‘mati’ pada 2021,” katanya.

 

 MATTA melihat kegagalan untuk meletakkan syarikat kredit dan pajakan di bawah bidang kuasa BNM atau pihak berkuasa lain semasa pandemik COVID-19, khususnya mengenai isu moratorium, telah menyebabkan dan menambah kesukaran dalam industri pelancongan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan