Rabu, 25 November 2020
EKONOMI
14/11/2020 02:17 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov  -- Agensi produktiviti negara menyambut baik pembentangan Belanjawan 2021 oleh kerajaan minggu lepas khususnya apabila ia turut merangkumi tindakan untuk menangani kesan yang ditimbulkan pandemik COVID-19 dalam ekosistem perniagaan.

Pengerusi Nexus Produktiviti Kimia (CPN), Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah berkata seiring pengumuman kerajaan mengenai Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan dengan peruntukan RM3.7 bilion menerusi belanjawan itu, CPN berharap ia dapat mewujudkan kerjasama lebih erat di antara peserta industri dengan institusi pendidikan yang menawarkan kursus berkaitan kimia.

“Peruntukan yang disediakan dalam belanjawan itu akan membolehkan industri kimia mengatasi kebimbangan perniagaan terutama disebabkan oleh pandemik.

“Skim ini melibatkan penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran serta program latihan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata Skim Pembangunan Nasional bernilai RM1.4 bilion oleh Bank Pembangunan Malaysia Bhd untuk menyokong pembangunan rantaian bekalan domestik akan membantu industri kimia mewujudkan program sokongan bersasar bagi memacu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah segmen atau produk bernilai tambah tinggi.

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan turut menyuntik peruntukan tambahan RM150 juta untuk Skim Geran Pendigitalan PKS dan Geran Automasi dalam menyokong automasi dan pemodenan.

“Ini akan memberi manfaat kepada PKS serta perusahaan mikro dan syarikat pemula niaga dengan memperkasakan perniagaan untuk menerima guna digitalisasi sebagai mekanisme kelangsungan yang diperlukan.

“Ekonomi yang sangat produktif perlu cepat menyesuai dengan pembangunan teknooogi. Ini melibatkan kesediaan PKS untuk menerapkan kaedah baharu pengeluaran barang dan perkhidmatan, sehingga menghasilkan cara inovatif dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata pandemik COVID-19 memaksa banyak perniagaan untuk meneliti semula kemampanan masing-masing.

“Tiada lagi istilah ‘perniagaan seperti biasa’. Bagi memastikan kesinambungan operasi, perniagaan perlu beralih dengan pantas kepada penerimagunaan teknologi dan digital,” katanya dalam kenyataan yang sama.

MPC merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala CPN adalah antara sembilan nexus produktiviti sektor yang diwujudkan di bawah Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia pada 2017.

Peranan CPN dan MPC antaranya adalah berkolaborasi dan menjalinkan perkongsian dengan penyelidik dan agensi kerajaan, melaksanakan inisiatif produktiviti di peringkat perusahaan serta berkongsi amalan terbaik untuk mempertingkat tahap produktiviti.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan