Rabu, 25 November 2020
EKONOMI
12/11/2020 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov -- Hubungan dua hala di antara China dengan Amerika Syarikat (AS) dijangka kekal mengalami tekanan susulan pilihan raya presiden dan pentadbiran baharu di negara ekonomi terbesar dunia itu, menurut Manulife Investment Management (MIM).

Pakar mengenai Greater China, Kai Kong Chay berkata sejak empat tahun lepas, pentadbiran AS secara strategik telah menggunakan pelbagai kaedah seperti tarif perdagangan, sekatan dan senarai entiti, ke atas China.

"Memandangkan situasi tidak menentu ini, kami yakin kerajaan dan korporat China telah lebih bersedia untuk meneruskan pembangunan ekonomi negaranya,” katanya menerusi nota pelaburan hari ini.

Beliau berkata semasa sesi pleno kelima Parti Komunis China pada Oktober, kerajaan China memperkenalkan Rancangan Lima Tahun ke-14 bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang berperanan sebagai prinsip panduan untuk pembangunan ekonomi masa depan negara itu.

“Langkah terhadap persekitaran luaran yang lebih mencabar dan di peringkat pembangunan domestik utama, strategi 'dwi-pusingan’ oleh Presiden China, Xi Jinping telah memberikan penekanan kepada ‘pusingan dalaman’ sebagai jentera pertumbuhan utama manakala 'pusingan luaran' dijangka berfungsi sebagai pemacu tambahan.

“Tujuannya adalah mengekstrak potensi pertumbuhan China melalui kemajuan teknologi yang lebih pantas, lonjakan penggunaan, pembandaran baharu dan penambahbaikan rantaian bekalan dalaman di samping membolehkan pasaran domestik dan asing untuk saling meningkatkan," katanya.

Chay berkata, MIM akan menunggu dan melihat hala tuju yang akan diambil oleh pentadbiran baharu AS berkaitan hubungan China-AS.

Beliau juga menjangkakan pertumbuhan China terus menunjukkan perbezaan berbanding negara lain di seluruh dunia -- lebih-lebih lagi semasa pasca-pandemik.

"Ia mungkin menarik lebih banyak modal asing ke dalam aset denominasi renminbi atau perusahaan China yang mencatatkan pertumbuhan tinggi dan berprestasi baik.

"Kerajaan China juga membenarkan institusi asing yang bersedia bagi menyertai peluang pertumbuhan China dan mewujudkan jalinan dengan pelabur global menerusi langkah meliberalkan pasaran modalnya," katanya.

Beliau berkata ramai pengurus aset asing, termasuk dari AS dan Eropah, telah memberikan reaksi positif dengan meningkatkan pelaburan di China, walaupun wujud peningkatan ketegangan dalam hubungan China-AS.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan