Jumaat, 23 Oktober 2020
EKONOMI
18/10/2020 03:17 PM

Oleh Sharifah Pirdaus Syed Ali

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Penjualan asing bagi ekuiti tempatan di Bursa Malaysia dari Isnin hingga Khamis minggu ini kekal sederhana pada RM86.0 juta bersih berbanding RM27.8 juta untuk keseluruhan minggu lepas.

Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata ini menjadikan aliran keluar asing dari Malaysia setakat ini bagi 2020 bernilai RM22.42 bilion.

Dari segi penyertaan, beliau berkata nilai dagangan harian purata (ADTV) selama empat hari yang dijalankan pelabur asing di Bursa Malaysia tetap tinggi iaitu RM1.4 bilion.

"Amat memberangsangkan apabila ADTV pelabur asing kekal di atas paras RM1.0 bilion selama 16 minggu berturut-turut.

"Ini menunjukkan pelabur antarabangsa masih aktif dalam dagangan di Bursa Malaysia walaupun kemelut politik berterusan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi dagangan Isnin hingga Khamis lepas, pelabur asing berdagang secara berhati-hati, dengan keadaan kekal bercampur-campur.

Pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih pada Isnin dan Selasa dan berubah menjadi penjual bersih pada Rabu dan Khamis, katanya.

Adam berkata, Bursa Malaysia memulakan dagangan minggu ini dengan baik pada Isnin apabila pelabur antarabangsa membeli RM39.0 juta bersih ekuiti tempatan namun prestasi dagangan bursa turun 11.9 peratus susulan pengambilan untung sebelum Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima mengadap Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.

"Faktor lain yang menyumbang kepada penurunan dalam pasaran tempatan adalah pengumuman mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Sabah oleh kerajaan mulai Isnin untuk membendung penularan pandemik COVID-19," katanya.

Beliau berkata dana antarabangsa kekal sebagai pembeli bersih pada Selasa walaupun pada kadar yang lebih perlahan dengan nilai RM10.0 juta bersih.

Kemelut politik tempatan kemudiannya diimbangi oleh laporan bahawa China berjanji akan membeli 1.7 juta tan minyak sawit Malaysia hingga 2021, katanya.

“Justeru, sebahagian besar kaunter perladangan seperti IOI Corporation dan Kuala Lumpur Kepong meningkat serta ditutup tinggi pada Selasa,” katanya.

Adam berkata pada dagangan Rabu, pelabur luar pesisir tidak membeli ekuiti Malaysia sebaliknya menjual RM87.0 juta bersih ekuiti dipengaruhi oleh kebuntuan dalam rundingan rangsangan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, penjualan bersih asing merosot kepada RM48.0 juta pada Khamis dengan sentimen terhadap pembuat sarung tangan berubah suram berikutan tindakan Jabatan Buruh AS untuk meletakkan produk getah buatan Malaysia dalam senarai barangan yang didakwa menggunakan buruh kanak-kanak atau paksa.

"Selain itu, ketegangan di antara AS dengan China semakin buruk apabila Presiden Donald Trump mempertimbangkan untuk memasukkan syarikat Ant Group dari China ke dalam senarai hitam perdagangan sebelum syarikat itu merancang untuk dwipenyenaraian iaitu di Shanghai dan Hong Kong," katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan