Sabtu, 31 Oktober 2020
EKONOMI
18/10/2020 11:29 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 18 Okt -- Plus Solar Systems Sdn Bhd optimis dapat merekodkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2021 memandangkan banyak pihak beralih kepada tenaga bersih terutama selepas menyedari faedah penjimatan tenaga solar dalam keadaan pandemik COVID-19.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ko Chuan Zhen berkata perniagaan mungkin mempertimbangkan manfaat tenaga solar jangka panjang yang lebih murah berbanding kos tenaga elektrik.

“Sebelum ini, tempoh pembayaran balik $tenaga solar adalah tujuh hingga 10 tahun tetapi sekarang ia boleh dikurangkan kepada tiga tahun, didorong pelepasan cukai dan model pembiayaan yang inovatif," katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Plus Solar ditubuhkan pada 2012 dengan bermula sebagai firma perunding solar.

Beliau bersama-sama Pengasas Bersama Ryan Oh Zhi Kang dan Poh Tyng Huei melabur RM100,000 dalam syarikat itu dan mencatatkan perolehan sebanyak RM130,000 pada tahun yang sama, katanya.

Ko berkata setahun kemudian, syarikat menukar model perniagaan daripada firma perunding kepada pihak yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan.

Beliau berkata perubahan model perniagaan ini terbukti merupakan langkah yang baik dan mereka meningkatkan perolehan sebanyak 10 kali ganda kepada RM1.46 juta pada 2013 seterusnya membuka cawangan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Plus Solar mencatatkan prestasi mengagumkan apabila perolehan melonjak 134 peratus kepada RM150 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2020 daripada RM64 juta pada tahun kewangan sebelumnya dipacu permintaan yang tinggi di Malaysia.

"Ini masih 100 peratus (sumbangan) dari Malaysia kerana pelan luar negara memerlukan masa untuk dibangunkan, ditambah dengan kekangan akibat pandemik dengan perjalanan di peringkat global masih disekat,” katanya.

Beliau berkata setakat ini syarikat itu telah melengkapkan banyak bangunan dengan penyelesaian tenaga solar, dan rekod prestasi penjanaan melebihi 200 megawatt puncak (MWp) -- bersamaan dengan memberi tenaga kepada lebih 94,000 rumah setahun.

Ko berkata syarikat itu menyasarkan kapasiti solar terkumpul 800 MWp dalam tiga tahun akan datang.

"Kami melaksanakan rancangan untuk mencapai angka-angka ini dan sebahagian besar akan disumbangkan oleh Solar Skala Besar (LSS) serta komersial dan industri yang dilengkapi dengan penyelesaian Tenaga Pintar kami -- SOURCE,” katanya.

SOURCE merupakan pengurusan prestasi dengan teknologi berasaskan awan dan kecerdasan buatan pintar menghubungkan data operasi dan tenaga dalam platform tunggal.

Beliau berkata SOURCE iaitu platform pengurusan tenaga merupakan penyelesaian dalaman milik Plus Solar sendiri, yang dibangunkan oleh syarikat dalam tempoh tiga tahun.

Pandemik COVID19 mempercepatkan penggunaan teknologi tenaga bersih selepas syarikat mendapati penggunaan SOURCE adalah positif dalam kalangan pelanggan komersial dan industri, katanya.

Syarikat itu telah banyak melabur untuk SOURCE kerana menjangkakan pendigitalan tenaga bersih merupakan lonjakan seterusnya dalam lingkungan industri tenaga boleh diperbaharu, katanya.

Beliau berkata setakat ini, lebih 100 bangunan telah menggunakan penyelesaian yang ditawarkan syarikat Plus Solar.

"Ramai pelanggan kami berjaya menjimatkan hingga 25 peratus daripada kos tenaga mereka dengan memanfaatkan sistem ini. Mereka dapat berjimat atau menyalurkan wang mereka untuk keperluan perniagaan yang lebih mendesak,” katanya.

Ko berkata Plus Solar telah mempunyai sejumlah pelanggan yang memanfaatkan kuota Pemeteran Tenaga Bersih dalam beberapa minggu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) untuk menambah baik penjimatan kos dan lindung nilai daripada kenaikan tarif elektrik.

Mengenai rancangan pengembangan Plus Solar, beliau berkata syarikat itu telah menetapkan agenda pertumbuhan serantau yang jelas memandangkan mahu memperluas kehadiran di Asia Tenggara selepas di Malaysia.

Syarikat mempunyai perancangan bagi operasi di Vietnam dan mula melaksanakannya manakala Myanmar dan Kemboja juga termasuk dalam pelan pengembangan itu.

Meskipun rancangan pengembangan terjejas akibat COVID-19 namun Ko berkata pihaknya mempunyai rakan kongsi di Vietnam yang terus mencatatkan perkembangan walaupun dalam keadaan pandemik.

"Vietnam merupakan ekonomi yang berkembang pesat dan kami ingin berada di sana tepat dengan usahanya.

“Tidak disangkal lagi negara ini adalah antara pasaran tenaga boleh diperbaharu paling menggalakkan di dunia. Setahun lepas, komisen dipacu insentif yang mendorong projek solar 5GW telah menjadikan Vietnam sebagai pasaran paling aktif di dunia,” katanya.

-- BERNAMA

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk[at]bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan